Nigeria kesan varian baharu P681H

CDC Nigeria akan menganalisis lebih banyak sampel selepas penemuan varian baharu P681H. - Foto Agensi
CDC Nigeria akan menganalisis lebih banyak sampel selepas penemuan varian baharu P681H. - Foto Agensi
A
A
A

ABUJA - Satu lagi varian baharu Covid-19 dikesan di Nigeria selepas virus bermutasi yang mudah merebak dikenal pasti di Afrika Selatan dan United Kingdom (UK).

Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, John Nkengasong pada hari ini mendedahkan kewujudan varian baharu dikenali sebagai P681H dan ia berbeza dengan yang ditemui di Afrika Selatan dan UK.

Namun, beliau menyatakan masih terlalu awal untuk mengesahkan kesan virus yang mengalami mutasi tersebut berikutan saintis memerlukan 'lebih banyak waktu' untuk mengkajinya.

Menurutnya, varian baharu tersebut ditemui pada sampel dua pesakit yang diperoleh di negeri Osun pada 3 Ogos dan 9 Oktober lalu.

"Ia tidak menyebabkan lonjakan kes jangkitan dan tiada bukti menunjukkan P681H menyumbang kepada peningkatan kes penularan di Nigeria. CDC Nigeria dan Pusat Kecemerlangan Afrika untuk Genom Penyakit Berjangkit akan menganalisis lebih banyak sampel," jelasnya.

Varian baharu P681H itu muncul selepas Nigeria merekodkan 1,133 kes jangkitan baharu dan lima kematian semalam selain kes dilaporkan meningkat di beberapa bahagian di benua Afrika.

Benua terbabit mencatatkan lebih 2.5 juta kes jangkitan dan 60,000 kematian akibat pandemik itu yang berpunca daripada wabak tersebut yang menular dengan cepat di Afrika Selatan.

Susulan daripada perkembangan itu, CDC Afrika akan mengadakan mesyuarat tergempar pada minggu ini untuk membincangkan tentang varian baharu tersebut termasuk virus bermutasi yang mencetuskan gelombang jangkitan kedua di Afrika Selatan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UK kesan varian kedua Covid-19

Varian Covid-19 baharu terkawal: WHO

Varian baharu Covid-19 cetus kebimbangan