Pas akan serahkan semua dokumen jika diminta SPRM

Takiyuddin Hassan
A
A

KUALA LUMPUR - Pas berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke akaun beberapa pemimpinnya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik parti itu sekiranya diminta SPRM untuk tujuan siasatan.

"Ini termasuklah Penyata Akaun-akaun Bank Pas Pusat, bagi membuktikan dakwaan bahawa Pas menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pas yakin SPRM sebagai sebuah entiti berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta ‘without fear or favour’.

"Pas juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnya

mempunyai maklumat tentang dakwaan di atas, dengan penuh tanggungjawab dan

integriti, tampil untuk menamakan secara terperinci.

"Serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat," katanya.

Semalam, SPRM menyatakan pihaknya akan memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang diterima Pas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, satu laporan polis telah dibuat kepada polis dan ia telah dirujuk kepada agensi itu.

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta

Minggu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan sama terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Tindakan itu diambil selepas Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman tersebut di luar mahkamah, dalam kes yang difailkan di London.

Pada 21 April 2017, Abdul Hadi memafailkan saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung laporan berita Sarawak Report yang dimuatnaik pada 6 Ogos 2016.

Dalam laporan tersebut, Presiden Pas itu didakwa menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti bagi menyokong BN dan Umno.