MBM sokong gubal akta kekang lompat parti

Jufitri Joha
Jufitri Joha
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan undi rosak dan berkecuali dibimbangi akan berlaku dalam momentum yang tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya akta mengekang gejala lompat parti tidak digubal.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, situasi itu disebabkan oleh kekecewaan pengundi terhadap ahli politik yang sepatutnya membantu menyelesaikan masalah belia dan rakyat khususnya di era pandemik.

"MBM menyambut baik saranan supaya kerajaan mempertimbangkan dan menyegerakan penggubalan Akta Integriti Pilihan Raya (AIP) dan Akta Pembiayaan Politik (APP) menjelang PRU15.

"Kedua-dua akta tersebut diyakini mampu menangani gejala lompat parti yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan memastikan ketelusan dalam pembiayaan dan derma politik.

"Sekali gus membasmi rasuah dan mengembalikan keyakinan kepada demokrasi negara yang dilihat semakin merosot khususnya dalam kalangan belia Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Jufitri berkata demikian sebagai mengulas saranan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berhubung perkara itu baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia perlukan undang-undang anti lompat parti

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, cadangan penggubalan Akta Pembiayaan Politik telah lama disuarakan dan MBM terlibat secara langsung dalam Jawatankuasa Nasional Mengenai Pembiayaan Politik 2016-2017 bagi mencadangkan peraturan mengenai pembiayaan politik.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penggubalan kedua-dua akta berkenaan memerlukan keazaman politik daripada ahli politik dan keazaman sosial daripada masyarakat sivil untuk melihat Malaysia yang lebih berintegriti, stabil dan makmur.