ZPP terima zakat perniagaan hampir RM1 juta

Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama dengan wakil syarikat korporat yang menyerahkan bayaran zakat perniagaan pada Majlis Hi-Tea di Kepala Batas pada Khamis.
Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama dengan wakil syarikat korporat yang menyerahkan bayaran zakat perniagaan pada Majlis Hi-Tea di Kepala Batas pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM969,628.52 daripada lima badan korporat yang beroperasi di negeri itu.

Penolong Naib Presiden UDA Land (North) Sdn Bhd, Mohd Fisal Ibrahim mendahului penyerahan bayaran zakat berjumlah RM361,567.52 bagi haul 2019 melalui Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Turut menunaikan kewajipan membayar zakat ialah Telekom Malaysia yang membayar RM211,062 melalui Ketua Wilayah Pulau Pinang, Zailani Ismail dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) Wilayah Utara yang diwakili Pengurus Kewangan, Muhammad Nazmi Nawi menyampaikan zakat berjumlah RM200,000.

Selain itu, Pengarah Urusan Al Hadad Marketing Sdn Bhd, Syed Ageel Syed Mohd Mahayadin menyerahkan zakat bernilai RM100,000 manakala Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd menyampaikan zakat bernilai RM75,000 yang disampaikan Perunding Operasinya, Abd Razak Abd Ghanee.

Ahmad Zakiyuddin ketika berucap berkata, membayar zakat bererti mempunyai kesedaran dan kepedulian sosial membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata, sekiranya kekayaan atau keuntungan yang dimiliki tidak dikongsi, ia boleh merosakkan jiwa kerana di situlah punca sikap bakhil.

"Selain itu, akan wujud sifat boros dengan membelanjakan harta untuk tujuan keduniaan semata-mata sehingga mengikis keimanan kita kepada ALLAH," katanya dalam Majlis Hi-Tea ZPP bersama pembayar zakat korporat 2020 di sini pada Khamis.

Hadir menyaksikan penyerahan zakat tersebut ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya optimis akan mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan pada tahun ini iaitu RM122.4 juta menjelang penghujung tahun walaupun petunjuk ekonomi kini dilihat masih lagi suram.

Sehingga Rabu, katanya, pihaknya berjaya mengutip RM110 juta.

"ZPP berjaya melaksanakan strategi baharu dalam memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menunaikan kewajipan pembayaran zakat walaupun kita sedang berdepan kemelut pandemik Covid-19.

"Penggunaan platform digital dilihat semakin diterima ramai. Saya percaya kaedah kutipan ini sangat efektif dalam membantu penyediaan dana bantuan kepada golongan memerlukan," katanya.