Covid-19: Kes positif di Malaysia lepasi angka 100,000

 Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 melepasi angka 100,000 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,581 kes baharu pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia ialah sebanyak 100,318 kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 18,773 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, Selangor terus mengekalkan laporan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 491 kes atau 31.1 peratus.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes (76.4 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Beliau berkata, Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 379 kes baharu atau 24.0 peratus, diikuti Sabah sebanyak 249 kes (15.7 peratus).

"Negeri Sembilan merekodkan 144 kes, selain Johor (115), Melaka (76), Pulau Pinang (37), Perak (26), Labuan (26) dan Pahang (12)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kelantan merekodkan sembilan kes, manakala jirannya, Terengganu pula sebanyak tujuh kes.

Artikel Berkaitan:

"Empat kes dikesan di Kedah dan Putrajaya dan Sarawak dua kes," katanya.

Menurutnya, sebanyak 270 daripada jumlah kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap dan penjara.

"Sebanyak 185 kes dikesan di Kluster Penjara Jalan Harapan, selain Kluster Tembok Gajah (74), Kluster GK Tawau (6), Kluster Tembok (4), dan Kluster Bakti (1)," katanya.

Beliau berkata, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini (Khamis) menjadikan jumlah kumulatifnya adalah sebanyak 446 kes," katanya.

Menurutnya, kes kematian tersebut melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun yang jenazahnya dibawa ke Hospital Lahad Datu.

"Seorang lagi merupakan lelaki berusia 61 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit lain. Jenazahnya dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh baharu pada Khamis dilaporkan sebanyak 1,085 kes.

"Jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 81,099 kes iaitu bersamaan 80.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.