Trump beri pengampunan kepada bapa menantu lelakinya

Donald Trump memberikan pengampunan kepada bapa menantu lelakinya, Charles Kushner semalam.
Donald Trump memberikan pengampunan kepada bapa menantu lelakinya, Charles Kushner semalam.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberikan pengampunan baharu semalam kepada sekutunya termasuk kepada bapa menantu lelakinya dan dua orang yang terlibat dalam siasatan berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS pada tahun 2016.

Ia menambahkan lagi senarai individu yang telah diberikan pengampunan oleh Trump ketika pada hari-hari terakhirnya di Rumah Putih.

Antara yang diberikan pengampunan itu ialah Charles Kushner iaitu bapa menantu lelakinya, Jared Kushner yang sebelum ini mengaku salah terhadap dakwaan mengelakkan cukai.

Bekas pengurus kempen pilihan raya Trump, Paul Manafort dan penasihat Presiden AS itu, Roger Stone turut diberikan pengampunan.

Trump mengampunkan Manafort yang berdepan dengan siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS pada tahun 2016 yang mencetuskan kemarahan bahawa beliau sedang memadamkan siasatan kes itu

Tiga lelaki itu adalah antara 26 orang yang diberikan pengampunan oleh Trump.

Ia berlaku sehari selepas Presiden AS itu mengampunkan 15 orang dan lima individu lagi diringankan hukuman termasuk beberapa bekas anggota Kongres AS dan pengawal keselamatan yang disabitkan membunuh 14 orang awam pada tahun 2007 di Baghdad, Iraq.

Tindakan terbaharu itu berlaku selepas Presiden AS itu menambahkan lagi senarai pengampunan kepada beberapa individu yang menunjukkan sokongan politik kepadanya dan kepada bekas askar-askar serta para pegawai penguat kuasa yang disabitkan melakukan pembunuhan.

Artikel Berkaitan:

Bekas-bekas askar itu merupakan empat individu kontraktor keselamatan firma Blackwater yang melepaskan tembakan di sebuah dataran di Iraq sehingga 14 orang awam mati dan berdozen-dozen lagi cedera sehingga meregangkan hubungan antara AS dengan negara tersebut.

Bekas-bekas askar itu berkata, mereka bertindak sebegitu bagi mempertahankan diri sebagai tindak balas terhadap tembakan para pemberontak.

Seorang jeneral tentera AS yang sudah bersara, Mark Hertling dan pernah berkhidmat di Iraq membuat kenyataan di Twitter dengan menganggap tindakan memberikan pengampunan kepada empat bekas askar tersebut sebagai satu kesilapan besar.

Trump juga memberikan pengampunan kepada dua lagi individu yang disiasat berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS pada tahun 2016.

Presiden AS itu juga sebelum ini memberikan pengampunan kepada tiga bekas anggota Kongres daripada parti Republikan.

Sebuah kumpulan pemantau iaitu Warga Yang Bertanggungjawab dan Beretika di Washington menganggap tiga bekas anggota parti Republikan itu sebagai anggota Kongres AS paling korup dalam sejarah negara tersebut.

Trump daripada parti Republikan akan diganti dengan Joe Biden yang mewakili parti Demokrat pada 20 Januari tahun depan selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS. - AFP