X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Taman Telipok Ria tamat hari ini

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah ditamatkan hari ini seperti dijadulkan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria di daerah Tuaran, Sabah ditamatkan hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan baki kes aktif di lokaliti tersebut semakin terkawal dan menunjukkan trend penurunan.

“Sehingga 22 Disember lalu, sebanyak 9,065 ujian saringan dilaksanakan dan secara kumulatif 806 kes positif direkodkan.

“Atas nasihat KKM, sidang khas semalam bersetuju untuk menamatkan PKPD di Taman Telipok Ria, pada 24 Disember (hari ini) seperti yang dijadualkan,” katanya pada sidang media berkaitan perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di sini pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di Taman Telipok Ria bermula 27 November sehingga 10 Disember dan kemudian dilanjutkan sehingga ke hari ini.

PKPD itu melibatkan sebanyak 3,400 unit rumah dan 18,000 penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: 18,000 penduduk Taman Telipok Ria, Tuaran dikenakan PKPD

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju untuk menguatkuasakan arahan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19, di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bermula 1 Januari 2021.

Beliau berkata, mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

“Bermula 1 Disember 2020, kerajaan mengarahkan semua pekerja warga asing yang bekerja di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan serta komersial, untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan perlu ditanggung oleh majikan syarikat berkenaan.

“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan 49,248 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19, yang melibatkan 1,990 majikan. Namun, KSM memaklumkan masih terdapat ramai majikan enggan memberi kerjasama untuk mematuhi arahan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga sedang mempergiatkan pemeriksaan terhadap kediaman pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446), dan sehingga kini 12 syarikat dan 27 pertuduhan dikenakan.

Selain itu, katanya, sidang khas itu turut bersetuju untuk mewajibkan majikan menanggung kos kuarantin dan rawatan bagi pekerja warga asing yang positif Covid-19, yang dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Mengenai penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, beliau berkata, seramai 169 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP dan kesemua mereka dikompaun.

Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (81), tidak memakai pelitup muka (35), aktiviti pusat hiburan (31), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (9).

Melalui Ops Benteng, beliau berkata seramai 49 pendatang tanpa izin ditahan semalam, manakala tujuh kenderaan darat dirampas.

Bagi kuarantin wajib pula, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 90,800 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 79 hotel serta 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,282 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 535 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 82,983 individu dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Thursday, December 24, 2020


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!