Muhyiddin berpuas hati pencapaian AHB

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hartanah Bumiputera (YAHB) secara maya pada Khamis. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hartanah Bumiputera (YAHB) secara maya pada Khamis. - Foto FB Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan prestasi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang mencapai pulangan bersih selepas zakat sebanyak 5.0 peratus setahun pada tahun ini walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

Menurut beliau, sejak dilancarkan pada akhir tahun 2010, AHB mengagihkan dividen terkumpul sejumlah RM1.41 bilion kepada 75,000 pelabur runcit dan 14 institusi bumiputera.

Muhyiddin turut berkongsi kegembiraan apabila dimaklumkan bahawa sejumlah RM31.4 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi melaksanakan ‘Rents Relief Program’ yang bertujuan untuk membantu penyewa di bangunan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sehingga kini PHB memiliki 23 buah bangunan di lokasi yang strategik terdiri daripada bangunan pejabat, pusat beli-belah, gudang logistik dan hospital swasta bagi pihak pelabur bumiputera daripada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Khamis.

Muhyiddin. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin. - Foto FB Muhyiddin Yassin

Beliau mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hartanah Bumiputera (YAHB) yang diadakan secara maya pada Khamis buat kali pertama sejak dilantik selaku Pengerusi YAHB pada 16 Oktober lepas.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pemegang amanah YAHB yang lain iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Pengerusi PHB, Tan Sri Md Nor Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mahmud Fauzi Muda dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohd Fadzil Maruwan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan mengenai prestasi keseluruhan Unit AHB, mekanisme pengagihan kekayaan dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) iaitu entiti operasi YAHB.

“Dalam mesyuarat itu, saya dimaklumkan mengenai prestasi tahunan YAHB di mana objektif utama penubuhannya adalah bagi memacu tindakan afirmatif dalam agenda memperkasakan ekonomi dan merangsangkan pemilikan bumiputera dalam hartanah komersial di Malaysia.

“Saya amat yakin pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PHB akan terus fokus dalam mendukung amanah serta mandatnya untuk terus meningkatkan keupayaan dan kekayaan ekonomi bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia.

“Selain meneruskan kemudahan penyertaan bumiputera dalam pelaburan hartanah menerusi pulangan yang stabil dan berdaya saing. Insya-ALLAH,” ujar beliau.