10 ahli kongsi gelap Ngo Seik Kee diberkas

Toyota Velfire dinaiki mangsa terbabas sebelum diserang dan ditetak ahli kongsi gelap hingga maut di KM 40.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sedenak, Kulai, Johor pada Ahad. Gambar kecil: Ayob Khan
Toyota Velfire dinaiki mangsa terbabas sebelum diserang dan ditetak ahli kongsi gelap hingga maut di KM 40.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sedenak, Kulai, Johor pada Ahad. Gambar kecil: Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 10 lagi ahli kongsi gelap Ngo Seik Kee (5 Colour) diberkas berhubung kes bunuh seorang penarik kereta di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sedenak, Kulai pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek yang berusia 17 hingga 31 tahun itu ditangkap di Bakri, Muar pada jam 12 tengah hari pada Khamis.

"Mereka daripada geng kongsi gelap tersebut yang terlibat di tempat kejadian dan hasil siasatan mendapati motif kes berkenaan disebabkan berkaitan dengan isu rasa tidak puas hati tentang pembayaran kenderaan yang dibeli serta lari daripada pihak bank.

"Sebelum ini, dua tangkapan awal telah dibuat di tempat kejadian pada 20 Disember lalu. Bertindak atas maklumat, 10 lagi telah diberkas dan dengan tangkapan ini, polis yakin akan dapat menyelesaikan kes ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Pada Rabu media melaporkan, seorang penarik kereta ditemukan maut dengan beberapa kesan tetakan dalam longkang di lebuh raya berkenaan.

Mangsa, 34, dan rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna Toyota Velfire yang ditarik di sini untuk di bawa pulang ke Kuala Lumpur sebelum terbabas didakwa dihimpit dua buah kenderaan lain.

Mangsa kemudian ditetak beberapa kali dan disahkan meninggal dunia manakala rakannya sempat melarikan diri.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek yang ditangkap itu mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Polis Johor katanya, sedang mengesan beberapa lagi rakan jenayah yang masih bebas.

"Kesemua mereka akan dipohon reman di bawah Sekyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan tawaran pembelian kenderaan murah yang lari daripada pembayaran pihak bank oleh individu-individu tertentu.

"Ini kerana kenderaan murah tersebut kebiasaannya mempunyai kaitan dengan aktiviti untuk mendapatkan perlindungan daripada kongsi gelap," katanya.