Program Empower ECER bangkit semangat pelajar B40

Nur Salsabila (dua dari kanan) menerima penghargaan menerusi program Jelajah Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2019 dari rumah ke rumah baru-baru ini.
Nur Salsabila (dua dari kanan) menerima penghargaan menerusi program Jelajah Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2019 dari rumah ke rumah baru-baru ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Program Pembangunan Kecemerlangan Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) melalui sokongan bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar yang terpilih di Kelantan.

ECER dalam satu kenyataan berkata, Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam diberi mandat melaksanakan program tersebut di empat jajahan di negeri ini iaitu Pasir Mas, Kuala Krai,Tumpat dan Machang.

Menurutnya, objektif utama program adalah untuk memberi peluang kepada pelajar terpilih mengoptimumkan potensi diri bagi mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik.

“Pelajar-pelajar di bawah program tersebut berpeluang menghadiri kelas-kelas tuisyen dan bengkel-bengkel peperiksaan yang dikendalikan oleh tenaga pakar secara percuma.

“Inisiatif ini bertujuan membangkitkan semangat pelajar untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Kenyataan turut menyebut, bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar cemerlang, iCEPS UiTM mengadakan program Jelajah Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2019 dari rumah ke rumah bagi menyerahkan sijil kecemerlangan pelajar bersama hadiah iringan.

Sementara itu, seorang peserta, Nur Salsabila Jusoh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh Kuala Krai berkata, program berkenaan amat membantunya meningkatkan prestasi akademik ke tahap lebih tinggi dan berjaya mendapat 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia yang bercita-cita menjadi seorang peguam kini menyambung pengajian di UiTM Dengkil dalam bidang Asasi Undang-Undang.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap kejayaannya mampu menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain," katanya.

Pendapat sama turut disokong Nur Hazirah Zunawawi dari SMK Dato’ Biji Wangsa, Tumpat yang kini sedang menyambung pengajian di Tingkatan Enam di sekolah sama selepas memperoleh 8A dalam SPM sebelum ini.