Sultan Kelantan beri sumbangan peribadi bantu mangsa banjir

Shairul Amin (kiri) mewakili Sultan Muhammad V menyerahkan pek sumbangan mangsa banjir kepada Ahmad di Tumpat pada Khamis
Shairul Amin (kiri) mewakili Sultan Muhammad V menyerahkan pek sumbangan mangsa banjir kepada Ahmad di Tumpat pada Khamis
A
A
A

TUMPAT - Kecaknaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V terhadap rakyatnya yang dilanda banjir tidak pernah terhenti setiap kali musim tengkujuh melanda negeri ini.

Saban tahun, baginda berkenan menyampaikan sumbangan buat rakyat Kelantan yang terjejas akibat banjir.

Pada Khamis, bantuan keperluan daripada Sultan Muhammad V diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk diagihkan kepada rakyat yang terlibat.

Sumbangan peribadi baginda itu disampaikan Juruiring Tentera baginda, Kolonel Shairul Amin Shaari untuk diagihkan kepada kira-kira 200 penduduk di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat.

Shairul Amin (kanan) dan Ahmad ketika tiba di Wisma I’Baadurrahman di Tumpat pada Khamis.
Shairul Amin (kanan) dan Ahmad ketika tiba di Wisma I’Baadurrahman di Tumpat pada Khamis.

Shairul Amin berkata, sumbangan sama telah diberikan sebelum ini kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.

“Baginda menitahkan supaya saya segera menyerahkan pek-pek sumbangan ini kepada rakyat yang terlibat dengan harapan ia dapat meringankan sedikit kegelisahan mereka.

“Baginda juga menitahkan yang sumbangan akan diberikan dari semasa ke semasa sekiranya banjir masih melanda negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian di Wisma I’Baadurrahman di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Muhammad V terhadap rakyatnya yang menghadapi banjir.

“Keprihatinan Tuanku sentiasa disanjung. Rakyat jelata di kawasan ini amat menghargainya dan merasakan sangat bertuah," katanya.

Ahmad berkata, pek sumbangan itu akan diagihkan Khidmat Malaysia Kawasan Tumpat dengan segera.