Ikut panduan al-Quran selesai krisis rumah tangga

Dari kiri: Fazrul, Zaid, Nik Salida Suhaila dan Tarmizi pada program Wacana Al-Quran Edisi Resolusi bertajuk 'Memburu Mahligai Impian' surah al-Rum ayat 21 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Dari kiri: Fazrul, Zaid, Nik Salida Suhaila dan Tarmizi pada program Wacana Al-Quran Edisi Resolusi bertajuk 'Memburu Mahligai Impian' surah al-Rum ayat 21 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Suami isteri yang berdepan dengan konflik atau krisis dalam rumah tangga perlu kembali kepada ALLAH SWT dengan mencari solusi berdasarkan panduan ditetapkan dalam al-Quran.

Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, panduan untuk menghadapi setiap masalah dalam rumah tangga adalah dengan kembali kepada setiap yang dijelaskan ALLAH SWT dalam al-Quran.

"Berpeganglah kepada tali ALLAH SWT dan kembali kepada-Nya, nescaya konflik dalam rumah tangga mampu dihadapi dengan tenang tanpa ada hati yang tercalar.

"Sifirnya mudah, jika mahu rumah tangga harmoni, suami yang dahulunya derhaka kepada ALLAH SWT dan tidak melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan, kembali taat kepada-Nya.

"Begitu juga dengan isteri. Isteri yang derhaka (nusyuz) kepada suami, kembalilah taat kepada suami. Jalanilah kehidupan berumah tangga berdasarkan panduan yang terkandung dalam agama kita," katanya.

Nik Salida Suhaila
Nik Salida Suhaila

Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Wacana al-Quran Edisi Resolusi bertajuk 'Memburu Mahligai Impian' surah al-Rum ayat 21 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Turut menjadi panelis ialah Pengarah Urusan Smart Parents Network Sdn Bhd, Coach Zaid Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan bacaan surah al-Rum ayat 21 dan beberapa ayat yang berkaitan dengan tajuk yang diulas.

Sementara itu, Nik Salida Suhaila berkata, pasangan suami isteri yang memburu mahligai bahagia perlu lebih memahami pengertian sakinah (tenang), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan) atau singkatannya (samara).

Dalam konteks suami isteri, beliau berkata, apabila wujudnya perasaan tenang, damai dan tenteram akan menitipkan rasa percaya kepada pasangan.

"Contohnya, kita mahu berkongsi rahsia dengan kawan tapi kita kata jangan bagitahu sesiapa. "Kawan kita tu, tak sempat sampai rumah lagi, dia sudah 'call' (hubungi) suaminya cerita berkenaan rahsia yang kita kongsikan.

"Inilah satu contoh di mana keluarga samara yang amat mempercayai pasangan. Jika dia sudah ada rahsia di antaranya dan pasangan, bermakna elemen samara sudah goyah.

"Pasangan yang kuat perasaan kasih sayangnya itulah yang menampakkan pasangan suami isteri itu serasi. Kalau ada apa-apa masalah, individu pertama yang dicari untuk dikongsikan adalah pasangan dan bukannya kawan.

"Yang terakhir adalah rahmah atau rahimah (belas kasihan). Kalau tidak ada rahmah kita tidak akan boleh bertolak ansur pada pasangan dan itulah juga bibit- bibit awal berlakunya konflik rumah tangga," katanya.

Zaid
Zaid

Bagaimanapun, beliau berkata, jika samara itu semakin berkurang dan mahu meningkatkan semula samara dalam perhubungan, perlu kembali taat kepada ALLAH SWT.

"Ikutilah panduan terbaik yang ada dalam agama kita. Mudah-mudahan dengan cara kita kembali taat kepada ALLAH SWT menjadikan kita dapat mencipta semula samara dalam rumah tangga," kata beliau.

Pada masa sama, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW juga menerima ujian dalam rumah tangganya.

Bagaimanapun, katanya, ketika dilanda masalah, baginda akan memfokuskan kepada penyelesaian dan bukannya menuding jari siapa yang salah.

"Kerana itu teladanilah sifat Rasulullah SAW iaitu menukar marah kepada maaf, menukar syak wasangka kepada sangkaan baik, menukar dengki kepada lapang dada, menukar kasar kepada lunak dan menukar dendam kepada ikhlas," katanya.