‘Uncle Kentang’ dan PRK Semenyih

A
A
A

DALAM kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina, tidak semena-mena kita dikhabarkan bahawa aktivis masyarakat Kuan Chee Heng yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada 2 Mac nanti.

Beliau merupakan individu yang pertama menyatakan hasrat tersebut ketika parti-parti utama seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih lagi mencongak calon masing-masing bagi merebut kerusi tersebut.

Agak menarik apabila ‘Uncle Kentang’ yang berbangsa Cina ini berani mempertaruhkan nasib untuk bertanding dalam kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Mungkin ramai yang mengatakan bahawa tindakan beliau ini sebagai ‘berani mati’ dan sia-sia.

Di atas kertas PH dan BN jelas akan mendominasi pilihan dan aspirasi pengundi di Semenyih. Namun begitu sumbangan, jasa dan reputasi baik Chee Heng dalam kerja-kerja amal dan kebajikannya membantu masyarakat yang memerlukan mungkin mampu menggugat populariti PH dan BN.

Sebagai penganalisis dan pemerhati politik, motivasi Chee Heng untuk bertanding di Semenyih antara perkara yang berjaya menarik perhatian saya. Ketika mengumumkan hasratnya, faktor utama yang menyebabkan beliau bertanding di Semenyih adalah untuk menjadi kuasa pendesak kepada dua calon lain dari PH dan BN supaya mereka melakukan apa yang sepatutnya mereka buat.

Kenyataan itu sedikit sebanyak menggambarkan apa yang sedang berlaku dalam politik hari ini dan sudah tentu, semacam satu isyarat kepada semua bahawa bakal ada kebangkitan baharu dalam masyarakat yang semacam mual dengan politik kepartian. Ini sudah menjelma dalam lima PRK yang lalu apabila rakyat yang sebelumnya bersemangat melakukan perubahan politik, nampaknya letih, bosan dan kecewa. Disebabkan itu, rakyat semacam tidak lagi percaya dengan pilihan raya kerana berasa tertipu dan dikhianati, baik oleh BN mahupun PH.

Usaha Chee Heng ini mungkin bagus untuk warga Semenyih. Chee Heng dari satu sisi memperlihatkan alternatif dan jalan keluar buat pengundi di Semenyih yang mungkin kecewa dengan politik semasa. Beliau memperlihatkan bagaimana sebenarnya kerja-kerja wakil rakyat boleh dilakukan oleh seseorang tanpa perlu bergantung kepada mana-mana parti politik mahupun jentera kerajaan.

Kekecewaan beliau terhadap kerenah birokrasi dan ‘red tape’ pemerintah dalam penyampaian khidmat dan bantuan kepada mereka yang memerlukan menjadikan beliau mengambil inisiatif sendiri sebagai jalan penyelesaian. Khidmat beliau, walaupun tidaklah sebesar mana, tetapi efektif dan benar-benar sampai kepada golongan sasar.

Artikel Berkaitan:

Ini menjadikan beliau semacam ‘YB kecil’ dalam kalangan mereka yang menerima khidmatnya. Malah kadang-kadang khidmatnya menenggelamkan pihak berwajib dan sepatutnya menjalankan tanggungjawab tersebut. Disebabkan itu, naratif yang mungkin cuba dikemukakan oleh Chee Heng ialah dengan memilih beliau, warga Semenyih bakal mempunyai wakil rakyat yang terbukti benar-benar mampu berkhidmat, mempunyai keazaman dan kecekalan yang tinggi, malah telus dan ikhlas tanpa mengharap balasan.

Mungkin penerangan Anthony Giddens tentang The Third Way (Jalan Ketiga) boleh dipinjam untuk memahami tindakan Chee Heng ini. Walaupun ia tidaklah sama sepertimana yang dimaksudkan Giddens ketika membicarakan konsepnya, di mana The Third Way di sini bermaksud untuk memberikan jalan keluar yang rasional dan beretika dalam mengatasi kegagalan pembangunan dalam konteks bernegara dari sudut kiri (sosialis) dan kanan (kapitalis).

Ungkapan Giddens yang paling bermakna dalam karyanya itu apabila beliau menyatakan bahawa apabila jalan kiri dan kanan gagal menangani permasalahan asas, maka akan muncul jalan ketiga sebagai jalan keluar sebagai alternatif dalam menghadapi dilema yang ada. Justeru, kalau kanan dan kiri itu disamakan dengan PH dan BN sekarang, maka ‘Uncle Kentang’ bolehlah diumpamakan sebagai ‘jalan ketiga’ kepada kedua-duanya.

Dalam tempoh seminggu menuju ke hari penamaan calon pada 16 Februari nanti, macam-macam boleh berlaku. Chee Heng masih boleh mengubah fikiran dan memutuskan untuk tidak bertanding di PRK Semenyih. Semuanya bergantung kepada pertimbangan beliau.

Namun, perbuatannya sudah memberikan kita satu permulaan kepada wacana baharu dalam politik Malaysia. Sejauh mana ia dapat dikembangkan dan seterusnya mencabar status quo politik kepartian dalam perjalanan demokrasi dan pendemokrasian di Malaysia mungkin adalah persoalan kedua untuk perbincangan masa hadapan.

*Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM