MAIWP bentang tujuh resolusi santuni golongan miskin bandar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Meja Bulat dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Khamis membentangkan tujuh resolusi yang bermatlamat menyantuni golongan miskin bandar di tiga wilayahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, resolusi berkenaan bakal diperhalusi sebelum dilaksanakan menerusi projek perintis dalam masa terdekat.

"Insya-ALLAH (resolusi akan dibentangkan ke Kabinet) sekitar Januari tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sesi persidangan meja bulat itu di sini pada Khamis.

Zulkifli berkata, adalah penting untuk menilai semula tahap dan mengenal pasti punca kemiskinan dengan lebih kerap susulan perubahan situasi terutama selepas negara dilanda Covid-19.

Persidangan Meja Bulat bertemakan ‘Menyantuni Kemiskinan Bandar’ itu dipengerusikan Ahli MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, bertujuan mengkaji dan meneliti keberkesanan agihan bantuan yang lebih mampan dan bersistematik agar sampai kepada golongan sasar.

Antara resolusi dibaca dan dibentangkan Abdul Aziz ialah untuk mewujudkan pangkalan data penerima bantuan berpusat (Big Data Analytic) yang boleh dicapai oleh semua agensi supaya agihan bantuan dapat diselaraskan.

Resolusi lain termasuk menjalinkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan dalam mengagihkan bantuan kepada golongan sasar supaya tiada pertindihan, keciciran serta lebih efisien dan produktif.

Resolusi itu turut menyatakan agar tahap kemiskinan dikaji semula daripada pelbagai dimensi dan diukur berdasarkan jumlah pendapatan keluarga dan mengambil kira kadar kecukupan sara hidup keluarga dalam sebulan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, resolusi lain ialah membangunkan kawasan di sekitar masjid berkonsepkan 'Islamic City' yang mengandungi komponen pembangunan seperti pusat perniagaan serta perumahan untuk asnaf, B40 dan mualaf untuk menaikkan taraf hidup mereka.

Selain itu, beliau berkata, punca utama kemiskinan juga perlu dikenal pasti selain menggunakan instrumen wakaf dalam membasmi kemiskinan. - Bernama