Ah long berdepan enam pertuduhan

Kok Hing (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Kok Hing (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap pertuduhan berkaitan aktiviti memberi pinjaman wang secara haram.

Wong Kok Hing, 43, membuat pengakuan itu selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan satu hingga keenam, tertuduh didakwa telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjam wang tanpa lesen sah kepada enam individu secara berasingan masing-masing berusia 23, 31, 40, 52 dan 57 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar daerah Melaka Tengah dari 25 Julai 2019 sehingga 12 Disember lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak kurang RM250,000 atau tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 27 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Loong Meng Si.

Semalam Kok Hing, turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah terhadap pertuduhan menjalankan perniagaan tidak berlesen pada September lalu.

Artikel Berkaitan: