X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga bekas pesakit di Terengganu sertai program kajian rawatan Covid-19

Gambar hiasan
A
A

KUALA NERUS - Tiga bekas pesakit Covid-19 di Terengganu sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai program kajian rawatan wabak itu dan seorang daripadanya sudah menderma plasma darah untuk tujuan itu, kata Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambali.

"Setakat ini, kerjasama daripada bekas pesakit Covid-19 yang sanggup menderma plasma itu adalah memuaskan. Namun, tidak semua layak untuk menderma plasma ini kerana perlu memenuhi kriteria yang sesuai termasuk kandungan antibodi dalam darah dan perlu memenuhi kelayakan asas untuk menderma darah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program derma darah Raia Hotel dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Mohd Muhaimin berkata, trend menderma darah di Terengganu menunjukkan penurunan sejak awal bulan ini dan ia dikhuatiri akan menyebabkan stok darah terus merosot.

Beliau berkata, kebiasaannya mereka memperoleh purata antara 300 hingga 400 beg darah setiap minggu namun berkurangan kepada 150 beg kebelakangan itu.

“Tambahan pula ramai penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam tidak berada di kampus ketika ini, mereka juga adalah antara penyumbang terbesar stok darah HSNZ.

"Status bekalan darah ketika ini masih mencukupi dan kami berharap lebih banyak program sebegini akan dilakukan dalam masa terdekat untuk menampung penggunaan purata darah sebanyak 1,500 beg setiap bulan," katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA), Che Adam A Rahman berkata, kesibukan dalam mengurus banjir di negeri itu bukanlah halangan untuk anggotanya menderma darah hari ini.

"Program derma darah APM Terengganu dijalankan sebanyak empat kali dalam setahun. Ini juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat khususnya pesakit yang memerlukan," katanya yang telah menderma darah sebanyak 78 kali setakat ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!