Vaksin: Pendakwah diseru senada

Pendakwah diseru agar senada dengan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berhubung fatwa vaksin Covid-19. Gambar kecil: Dr Zulkifli Al Bakri.
Pendakwah diseru agar senada dengan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berhubung fatwa vaksin Covid-19. Gambar kecil: Dr Zulkifli Al Bakri.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Pendakwah diseru agar senada dengan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berhubung fatwa vaksin Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia berikutan pandangan berkenaan penggunaan vaksin adalah pandangan ulama serta majlis fatwa di negara ini dan luar negara.

"Alangkah baiknya kalau kita semua termasuk pendakwah selebriti senada dengan badan berautoriti, yang telah buat kajian dan memperhalusi dengan cukup mendalam," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Tausiyah dengan pendakwah selebriti pada Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata, kerajaan mengambil kira pelbagai pandangan bagi mendapatkan maklumat daripada ahli ikhtisas seperti pakar perubatan dan ahli farmasi.

"Saya nak yakinkan pandangan itu kita hantar ke hampir 10 ulama di seluruh dunia termasuk di Arab Saudi, Mesir, Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana keputusannya hampir sama kesemuanya," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli menyifatkan golongan yang menolak vaksin ataupun Antivaxx hanya mementingkan diri sendiri.

"Orang lain memikirkan kemaslahatan umum, bagaimana vaksin menjana pendapatan berbilion-bilion.

"Orang lain berlumba-lumba untuk selamatkan (nyawa)...Kita masih lagi dalam kerangka ini. Ini yang saya bimbangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar semua pihak mengelak daripada menimbulkan kekhilafan.

"Saya amat menghormati keilmuan sahabat-sahabat, namun kita ada maslahah yang lebih besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini," katanya.

Menurutnya, jika terdapat sebarang cadangan, ia perlu dikemukakan secara berhemah menerusi saluran yang betul.

"Bukan dalam ceramah atau di media sosial. Moga harmoni semuanya," katanya.

Semalam, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu memutuskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.