Bekas banduan dari Thailand antara dikuarantin di Kelantan

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lelaki yang baru sahaja dibebaskan dari penjara di Thailand adalah antara 20 individu yang ditempatkan di Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri di sini, selama 10 hari bermula pada Rabu.

Penyelaras Pusat Kuarantin Kelantan, Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee berkata, daripada maklumat yang diperoleh, ketiga-tiga lelaki berusia dalam 20 hingga 60-an itu ditahan di negara jiran, atas kesalahan masuk secara haram dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara itu.

“Sebaik dibebaskan mereka kembali ke negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dah Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Mereka adalah individu di bawah pengawasan (PUS) dan menjalani ujian pengesanan Covid-29 pada Khamis dan ujian kali kedua pada hari kelapan tempoh kuarantin,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut Shafie, selain Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri, sebuah hotel di Tunjong, Kota Bharu menempatkan 20 lagi PUS, yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja sektor minyak dan gas.

Katanya, seramai 26 kakitangan daripada pelbagai agensi ditempatkan di kedua-dua pusat kuarantin itu untuk menjalankan proses kawalan, keselamatan dan memeriksa tahap kesihatan PUS.

Sementara itu, Shafie berkata, dari Julai sehingga kini, seramai 600 individu direkodkan sebagai PUS dan telah menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan di Kelantan. - Bernama

Artikel Berkaitan: