Pemuda UMNO tidak berdiam diri isu i-Sinar, moratorium

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO tidak pernah mendiamkan diri terhadap dua isu iaitu permohonan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar serta lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri selagi kedua-dua isu tersebut terutama kategori dua i-Sinar yang masih mempunyai pelbagai kriteria mengekang rakyat, tidak dimansuhkan sepenuhnya.

“Begitu juga dalam isu moratorium yang banyak aduan menjurus kepada pelbagai karenah bank-bank tempatan, bukan hanya menyusahkan bahkan membebankan rakyat yang memohon dilanjutkan moratorium akibat kesusahan yang nyata.

“Mewakili suara rakyat, kami Pemuda UMNO hanya menagih janji Menteri Kewangan untuk mempermudah dan menambah baik i-Sinar dan moratorium biarpun Bajet 2021 telah diluluskan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Belanjawan 2021 berdepan laluan sukar untuk diluluskan ekoran sokongan bersyarat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang menuntut pelanjutan moratorium automatik selama enam bulan dan menuntut pengeluaran sekali gus RM10,000 daripada akaun satu KWSP.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO telah menyediakan dua talian hotline sejak 14 Disember lalu bagi mengumpulkan segala aduan dan maklum balas orang ramai mengenai isu i-Sinar KWSP dan moratorium.

“Sehingga kini, ribuan aduan sedang dikumpulkan oleh kakitangan pejabat Pemuda UMNO yang bertungkus lumus merekodkan setiap permasalahan bagi menyiapkan memorandum suara rakyat i-Sinar dan moratorium,” katanya.

Artikel Berkaitan: