Pasca banjir: Menangis tengok barang rosak

Penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman ini menjemur barangan yang masih boleh digunakan.
Penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman ini menjemur barangan yang masih boleh digunakan.
A
A
A

KEMAMAN - Mangsa banjir ada yang menitiskan air mata setelah melihat kebanyakan perabot dan barangan milik mereka rosak akibat banjir gelombang keempat biarpun bencana itu sudah berakhir pada Rabu.

Penduduk di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman yang paling teruk terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air bermula Jumaat lalu, tidak menyangka sama sekali akan berdepan dengan banjir teruk pada kali ini.

Salah seorang mangsa, Che Rohaya Abu Bakar, 63, berkata, dia terkejut melibat pelbagai barangan di kediamannya yang bergelimpangan dan rosak apabila pulang ke rumah, selepas beberapa hari berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman memilih dan membersihkan barangan yang masih boleh digunakan.
Penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman memilih dan membersihkan barangan yang masih boleh digunakan.

"Semua tilam hancur, benda-benda berat seperti peti ais jatuh, tak tahu lagi samada boleh digunakan atau tidak. Barangan lain tak boleh diselamatkan.

"Paling sedih, habis buku-buku resipi saya rosak. Sebagai peniaga kuih, buku resipi antara barangan berharga bagi saya," katanya.

Jusnata Aina Mohd, 39, yang juga suri rumah pula seperti rasa tidak keruan melihat rumahnya ibarat 'tongkang pecah'.

"Nak mengemas pun, tak tahu macam mana sebab barangan banyak rosak. Saya memang tak sempat nak selamatkan barang-barang sebab air naik sangat cepat.

Artikel Berkaitan:

"Banjir kali ni diibaratkan macam banjir besar tahun 2013 yang berlaku di Kemaman. Hujan sangat lebat dan rumah saya ditenggelami air," katanya.

Gelombang banjir fasa keempat kali ini menyaksikan lebih 8,000 penduduk yang terjejas, melibatkan daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Kemaman pula merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan lebih 7, 000 orang.