Keputusan kes rasuah Isa Samad 3 Februari depan

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dilepaskan atau disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak akan diketahui 3 Februari depan.

Hakim, Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, pada akhir kes pembelaan pada Khamis.

Mohd Nazlan juga mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak atas hujahan masing-masing.

“Saya tetapkan keputusan bagi kes ini hari Rabu (3 Februari) jam 9.30 pagi,” katanya.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 8 Oktober tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 22 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuklah bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil dan bekas Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Pada 3 September lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil enam saksi memberi keterangan, dalam prosiding yang berlangsung selama tiga hari pada 17 dan 19 Ogos, serta 3 September lepas, dengan Mohd Isa dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Isa Samad: Pihak pembelaan tutup kes selepas panggil 6 saksi

Saksi lain yang dipanggil memberi keterangan antaranya bekas Setiausaha Mohd Isa, Zuraida Ariffin @ Shaari, dan bekas Pegawai Khas Mohd Isa, Kamar Bashah Shariff.

Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan, iaitu ahli lembaga GAPSB, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Jun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan membela diri atas sembilan pertuduhan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Isa dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT), berhubung pembelian hotel itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Isa nafi terima RM3 juta daripada pegawai khasnya

Isa Samad bebas satu pertuduhan pecah amanah

Keterangan pengeluaran wang tunai kes rasuah Isa Samad boleh dipercayai