Trump beri amaran kepada Teheran

Gambar fail menunjukkan seorang anggota pihak berkuasa Iraq mengawal Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang anggota pihak berkuasa Iraq mengawal Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - [DIKEMASKINI] Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu memberi amaran bahawa beliau akan menganggap Iran bertanggungjawab dalam kejadian melibatkan rakyat AS yang mati akibat serangan militia yang mendapat sokongan Teheran di Iraq.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang serangan beberapa roket ke atas kedutaan Amerika di Iraq pada Ahad lalu yang menyebabkan kerosakan tetapi tiada kematian dilaporkan.

Kejadian itu berlaku ketika hampirnya hari ulang tahun pertama seorang jeneral kanan Iran mati dalam serangan udara AS di Baghdad.

"Kedutaan kami di Baghdad diserang pada Ahad lepas oleh beberapa roket. Cuba teka dari mana ia (serangan roket) itu datang: IRAN," kata Trump menerusi Twitter.

"Kini, kita mendengar perbualan bahawa serangan tambahan (akan berlaku) ke atas (rakyat) Amerika di Iraq. Jika seorang (warga) Amerika terbunuh, saya akan menganggap Iran bertanggungjawab. Cuba fikir-fikirkan," tambah kenyataan Presiden AS itu.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo sebelum ini menyalahkan Teheran manakala pusat pemerintah tentera Amerika di Iraq berkata bahawa serangan roket itu pastinya dilakukan oleh kumpulan militia yang mendapat sokongan Iran.

Beliau menyatakan dalam satu kenyataan bahawa serangan tersebut menyebabkan bangunan di kedutaan Amerika rosak walaupun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Iran kemudian memberikan kenyataan balas kepada pihak berkuasa AS pada Isnin lalu supaya tidak mencetuskan provokasi dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Januari lalu, Trump mengarahkan serangan dron dilakukan bagi membunuh seorang jeneral Iran yang berpengaruh, Qasem Soleimani semasa beliau berada di Baghdad.

Kejadian itu berlaku selepas kumpulan militia Iran melancarkan serangan roket ke atas sasaran AS di Iraq.

Baru-baru ini, Washington mengurangkan kakitangan diplomatik di Baghdad di tengah-tengah spekulasi bahawa ia mungkin akan menutup pejabat perwakilannya di negara tersebut. - AFP