Kelantan FC bayar tuntutan hutang Kraljevic

Marko Kraljevic
Marko Kraljevic
A
A
A

KOTA BHARU - Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) meneruskan langkah melunaskan hutang dengan menyelesaikan bayaran yang dituntut bekas ketua jurulatih The Red Warriors (TRW) Marko Kraljevic.

Penasihat Undang-undang Kelantan FC, Shairuz Sheffie berkata, sejumlah RM997,253.84 telah dibayar kepada jurulatih dari Croatia itu.

"Bayaran dilakukan dalam dua bahagian iaitu RM105,225.00 dan RM892,028.84, masing-masing pada 14 September dan 22 Disember lepas, kepada peguamcara Kasalo & Raic," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kraljevic dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan pada 2019 ketika kepimpinan presiden terdahulu Bibi Ramjani Ilias bertujuan membantu merencana strategi lebih baik untuk mengembalikan kekuatan skuad TRW.

Shairuz berkata, Kelantan FC juga telah menyelesaikan sepenuhnya bayaran penalti yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah RM69,996 pada 20 Ogos lepas.

"Jumlah keseluruhan pembayaran bagi kes ini adalah sebanyak RM1,067,249.84," katanya.

Kelantan FC sebelum ini telah melunaskan bayaran tunggakan gaji kepada bekas penyerang dari Lubnan Abou Bakr Al Mel berjumlah RM969,283 dan bekas pemain pertahanan dari Brazil Cassio Francisco sebanyak RM 679,263.20. - Bernama

Artikel Berkaitan: