Pengantin diarak 14 traktor

Mohd Jaimanajid (tengah) bersama keluarga dan rakan sebelum diarak dengan traktor ke rumah pasangannya.
Mohd Jaimanajid (tengah) bersama keluarga dan rakan sebelum diarak dengan traktor ke rumah pasangannya.
A
A
A

PASIR PUTEH - Petani muda merakamkan memori indah hari perkahwinannya dengan mengadakan perarakan 14 traktor di Kampung Gong Kulim, kelmarin.

Keunikan perkahwinan Mohd Jaimanajid Zakaria, 37, itu juga sebenarnya untuk menunaikan nazarnya berarak dengan traktor ke rumah pasangannya jika mendapat jodoh orang sekampung.

Dia dan pasangan, Nik Zariza Izayu Mohd Zulkifli, 22, menaiki traktor yang dihias cantik, diikuti 13 traktor lain.

Menurut Mohd Jaimanajid, perarakan sejauh satu kilometer itu cukup bermakna kepadanya dan ia akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Mohd Jaimanajid dan isteri menaiki traktor pengantin pada majlis perkahwinan mereka kelmarin.
Mohd Jaimanajid dan isteri menaiki traktor pengantin pada majlis perkahwinan mereka kelmarin.

“Saya memang berhasrat untuk berkahwin dengan orang sekampung, akhirnya ia tercapai apabila saya bersetuju dengan pilihan orang tua saya.

“Untuk tunaikan nazar, saya menghias traktor untuk berarak dengan meminta rakan petani lain membawa traktor masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pada asalnya, dia merancang menggunakan 20 traktor tetapi hanya 14 sahaja dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 14 traktor dalam keadaan sedia untuk perarakan pengantin baharu di Kampung Gong Kulim.
Sebanyak 14 traktor dalam keadaan sedia untuk perarakan pengantin baharu di Kampung Gong Kulim.

Bagaimanapun katanya, dia tetap berpuas hati kerana perarakan pengantin sedemikian jarang diadakan.

“Saya merupakan pesawah dan memiliki traktor sendiri, ada baiknya saya abadikan kenangan indah ini bersama isteri saya.

“Kami juga menjalani penggambaran fotografi berlatarbelakangkan jentera pembajak dan sawah yang menjadi tempat saya mencari rezeki,” katanya.

Katanya, kebanyakan tetamu majlis perkahwinannya tidak melepaskan peluang bergambar dengan traktor pengantin.

“Sofa diletakkan di bahagian belakang traktor untuk saya dan isteri saya duduk, ia menarik perhatian orang ramai.

“Traktor pengantin ini hasil kreativiti keluarga saya sendiri, saya juga membantu kerana perlu memastikan ia benar-benar menarik,” katanya.