X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

[DIKEMASKINI] Veterinar tak terlibat aktiviti kawal selia import, transhipment daging di pintu masuk

A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tidak terlibat dalam aktiviti kawal selia pengimportan daging dan produk daging di pintu masuk negara.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, DVS memaklumkan dasar pengimportan daging dan produk daging sedia ada menjamin dan memastikan kualiti, keselamatan serta status halal bagi penggunaan rakyat Malaysia.

"Kelulusan import daging dan produk daging hanya dibenarkan dari sumber negara, loji pemprosesan dan rumah sembelihan yang telah dilulus dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia," jelasnya.

Menurut kenyataan itu, sebelum daging dan produk daging dibenarkan import, DVS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia bertanggungjawab dalam pemeriksaan di loji pemprosesan dan rumah sembelihan mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

"Pengauditan dan pemeriksaan loji pemprosesan dan rumah sembelihan di luar negara dijalankan berasaskan kod amalan standard yang ketat mengikut piawaian antarabangsa (MS 1540:2009: GMP, MS 1480:2009 HACCP, CoVP) meliputi kawalan penyakit haiwan dan zoonotik, katanya.

Menurut DVS, kelulusan dan pengiktirafan loji pemprosesan dan rumah sembelihan diberikan setelah Jawatankuasa Teknikal Penganugerahan Loji Luar Negara (JTPALLN) di peringkat DVS mendapati pihak berkenaan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Pengesyoran oleh JTPALLN seterusnya dibawa ke peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jawatankuasa Kawalan Import Eksport Keluaran Pertanian (JKIEKP) MAFI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MAFI menilai dan membuat keputusan untuk melulus atau menolak syor tersebut.

Pada 1 Disember lalu, media melaporkan sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.

Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!