X

Kindly register in order to view this article
!

PRU15: Pejuang terbuka tanding atas tiket parti lain

Datuk Seri Mukhriz Mahathir hadir di program Sinar Live, berlangsung di Auditorium Karangkraf. Foto: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SHAH ALAM - Presiden (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersikap terbuka untuk bertanding atas tiket parti seperti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya pendaftaran parti itu masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurutnya, Pejuang akan bertanding pada PRU15 dengan membentuk satu gagasan rasmi.

"Sekiranya parti tidak berdaftar, ada kemungkinan kita akan menggunakan tiket parti lain malah kita memang terbuka untuk pastikan Pejuang bertanding dalam PRU15 nanti dengan satu gagasan yang rasmi.

"Kami tidak akan bertanding sebagai calon bebas. Jadi sebaik-baiknya kita mestilah sebahagian daripada satu parti politik, ada beberapa pilihan, kita akan pertimbangkan perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan moderator dari Sinar Harian, Haslina Kamaludin mengenai Warisan bakal melebar sayap di Semenanjung pada program Sinar Live dengan tajuk Politik Malaysia Makin Tenat? pada Rabu yang diadakan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian.

Ketika ditanya persediaan Pejuang bagi menghadapi PRU15, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan atau pun pendekatan berhubung perkara tersebut.

"Kita kena muhasabah diri, kena ukur baju di badan sendiri... kita pasang cita-cita terlampau tinggi, padahal kita tidak berkemampuan, nak berjuang seorang memang sukar tetapi keputusan atau pendekatan itu akan dilaksanakan sebelum PRU15 nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun itu turut menyentuh perihal pendaftaran Pejuang yang ketika ini dilihat masih belum diluluskan oleh RoS.

Tegasnya, pihaknya sudah memenuhi segala syarat yang diperlukan oleh pihak berkuasa, namun masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada RoS berhubung perkara berkenaan walaupun pertemuan telah dilakukan bersama pegawai di jabatan itu.

Beliau juga memohon semakan kehakiman untuk memaksa RoS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu dan sebutan kes dijadualkan pada 7 Januari 2021.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!