X

Kindly register in order to view this article
!

Mural warisan hiasi Alor Setar

Antara Lukisan 3D menghiasi dinding sekitar Lorong Setar di bandar raya Alor Setar.
A
A

ALOR SETAR - Projek Medan Seni Alor Setar yang memaparkan aneka lukisan mural dengan kisah dan bercirikan sejarah tempatan bakal menjadi tarikan baharu kepada pelancong yang melawat bandar raya Alor Setar.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, Projek Medan Seni Alor Setar merupakan projek dilaksanakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui peruntukan daripada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri kerajaan Kedah.

Beliau berkata, perancangan projek bermula sejak tahun 2018 itu pada asalnya dinamakan sebagai Alor Setar Street Art sebelum ditambah baik dan dijenamakan semula sebagai Medan Seni Alor Setar bagi memberikan ciri-ciri tempatan dan bersesuaian dengan komponen utama projek iaitu seni lukisan mural.

“Melalui projek Medan Seni Alor Setar, kita berharap ia menjadi satu tarikan baharu kepada pelancongan bandar raya Alor Setar dan menghidupkan kembali kawasan Pekan Melayu dan Pekan Cina dengan aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan.

“Selain itu, hasrat utama MBAS adalah bagi mengembalikan dan mengekalkan kegemilangan sejarah dan warisan Alor Setar melalui nilai dan cerita yang terdapat di setiap lukisan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebahagian lukisan bertemakan Alor Setar di tembok dinding Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang bakal menjadi tarikan pelancong.
Sebahagian lukisan bertemakan Alor Setar di tembok dinding Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang bakal menjadi tarikan pelancong.

Zaid berkata, Medan Seni Alor Setar yang mendapat khidmat beberapa pelukis tempatan dan luar tertumpu di Lorong Setar iaitu satu lorong di Pekan Melayu dan juga kawasan sekitar Pekan Melayu dan Pekan Cina.

Katanya, usaha berkenaan diambil MBAS untuk mengekalkan ciri-ciri warisan dan sejarah bandar raya Alor Setar melalui konsep dan tema lukisan yang mempunyai cerita dan bercirikan sejarah tempatan.

“Sebagai contoh, mural Alor Setar Tradisional 1879 menceritakan mengenai sejarah penanaman padi dan pembinaan Terusan Wan Mat Saman pada abad ke-18 yang begitu sinonim dengan bandar raya Alor Setar.

“Antara lain, ada mural yang berkonsepkan sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam bentuk fakta dan gambaran sebagai penghormatan kepada mereka yang turut memberikan kerjasama dalam menjayakan projek Medan Seni Alor Setar ini,” katanya.

Zaid berkata, terdapat juga mural yang berkonsepkan gambaran lama ataupun tradisional Pekan Melayu dan Pekan Cina pada masa dahulu sebagai simbolik kepada sejarah Pekan Melayu dan Pekan Cina.

Hishamudin merakamkan gambar kenangan bersama lukisan tradisional Pekan Melayu dan Pekan Cina di Medan Seni Alor Setar di Alor Setar pada Ahad.
Hishamudin merakamkan gambar kenangan bersama lukisan tradisional Pekan Melayu dan Pekan Cina di Medan Seni Alor Setar di Alor Setar pada Ahad.

“Sebagai tambahan terdapat juga mural yang berkonsepkan interaktif 3D yang menghiasi dinding-dinding di sekitar Lorong Setar bagi memberikan lebih banyak tarikan dan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Tambahnya, projek Medan Seni Alor Setar itu diperkuatkan lagi dengan komponen pintu gerbang dan naik taraf Tugu 0 Kilometer bagi memberikan impak kepada keseluruhan kawasan itu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Hishamudin Md Saad, 39, berkata, usaha mengindahkan kawasan di Jalan Penjara di sini dengan lukisan berkenaan adalah baik dan mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Alor Setar.

Menurutnya, dia mendapati terdapat beberapa lukisan di tembok dinding Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum mengesan lukisan terbaharu berkaitan Pekan Melayu dan Pekan Cina.

Sehubungan itu, katanya, dia tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan beberapa lukisan bertemakan Alor Setar yang dirasakan menarik dan indah itu.

“Saya menyokong jika ada pihak-pihak tertentu mengambil inisiatif mengindahkan pemandangan bandaraya Alor Setar melalui lukisan pada dinding bangunan seumpama itu,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!