Pelabur ASB jangan kecewa dividen rendah

Pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar kepada ekonomi dan pasaran kewangan sedunia termasuk pelaburan ASB.
Pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar kepada ekonomi dan pasaran kewangan sedunia termasuk pelaburan ASB.
A
A
A

[DIKEMASKINI] MUNGKIN ramai pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengeluh, tidak kurang juga yang berpeluh apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Agihan pendapatan ASB pada tahun ini adalah pulangan terendah dalam sejarah berbanding tahun lalu iaitu 5 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit. Pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar kepada ekonomi dan pasaran kewangan sedunia termasuk pelaburan ASB. Sejak 10 tahun lalu, dividen ASB adalah sekitar 7 peratus dan apabila campur bonus, boleh dapat 8 peratus. Tahun lepas cuma 5.5 peratus sahaja.

Tahun ini ASB beri bonus 0.75 sen dan tambah lagi 0.75 sen pembayaran khas ihsan untuk 30,000 unit pertama. Walaupun dalam persekitaran ekonomi makro mencabar dan pasaran kewangan tidak menentu pada 2020, ASB masih mampu mengagihkan pendapatan berjumlah RM7.6 bilion untuk 10.2 juta pelaburnya.

Kita kena terima hakikat bahawa setiap pelaburan ada naik dan turun. Mungkin tahun ini turun, tetapi tahun depan melonjak semula. Itupun kalau pasaran saham dan ekonomi pulih semula. Pada tahun 2020, semua negara terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, prestasi ASB kekal kompetitif ketika berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain ketika hampir semua negara mencatat penguncupan ekonomi dan ekuiti global jatuh 25 peratus awal tahun ini sebelum beransur pulih akhir-akhir ini.Kalau prestasi bursa saham bagus, sudah tentu pulangannya juga bagus. Kalau pasaran saham merundum, sedikit sebanyak pelaburan ASB pun akan terjejas. Ini logik yang paling mudah apabila membeli saham. Bank pun tidak boleh beri dividen setinggi itu kepada penyimpan kecuali simpanan tetap.

Sebenarnya ramai yang masih tidak tahu bahawa pelaburan dalam ASB lebih menguntungkan daripada simpanan biasa walaupun agihan pendapatan yang diumumkan menurun pada setiap tahun.

ASB juga adalah satu tempat pelaburan yang selamat. Wang yang pelabur dalam ASB tidak akan hilang. Itu memang sudah dijamin. Setiap RM1 yang kita laburkan, tetap kekal RM1. Yang berubah-ubah dan boleh turun dan naik ialah agihan pendapatan. Kalau tidak tambah pelaburan sekalipun, pelabur akan tetap dapat dividen. Bila konsepnya low risk tentulah low return.

Mungkin yang berasa kecewa atau emosi itu terdiri daripada peminjam bank untuk dilaburkan dalam ASB. Pelabur yang tidak meminjam wang untuk melabur mungkin tidak terkesan sangat.

Artikel Berkaitan:

Pelabur yang meminjam ini bertanggungjawab untuk bayar semula pinjaman dalam bentuk bayaran bulanan. Apabila kita melabur menggunakan wang yang dipinjam dan agihan dividen diperoleh pula tidak melepasi kadar faedah ditetapkan, memang peminjam perlu tambah.

Jangan risau sebab hari ini kadar faedah bank pun sudah turun dan keuntungan daripada ASB masih boleh bayar pinjaman bank. Difahamkan PNB menubuhkan ASB Loan Helpdesk untuk beri nasihat kepada peminjam untuk review balik pinjaman mereka.

Kalau ada yang merasakan dividen ASB tidak menguntungkan, mungkin boleh cari alternatif dan belajar tentang pelaburan-pelaburan lain yang ada di Malaysia yang high risk, high return.

Pada masa yang sama, kita perlu perbanyakkan sumber pendapatan kita selain daripada hanya bergantung 100 peratus kepada ASB atau Tabung Haji (TH). Tetapi jangan pula terjebak dengan saham yang berisiko seperti bitcoin, forex dan sebagainya. Kalau tak kena gaya, boleh terus lesap duit dibuatnya.

Ketika pandemik ini eloklah kita simpan wang sebab tidak tahu bila kemelesetan ekonomi ini akan berakhir. Sekurangnya kita bersedia jika ada simpanan. Dengan ASB, selain simpan, wang juga berkembang.

Di Malaysia, kita ada pelbagai pelaburan lain yang dapat dimanfaatkan. Jadi, bila satu pelaburan rugi atau tak berapa untung, maka kita masih ada pelaburan lain yang lebih untung.

Ingat, setiap pelaburan mesti ada risikonya yang tersendiri. Pandai-pandai sesuaikan dengan kemampuan kewangan masing-masing.

*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian