Datuk Bandar Rio De Janeiro ditahan kes rasuah RM41 juta

Marcelo Crivella (tengah) ditahan selepas dikaitkan dengan rasuah RM41 juta. Foto: Agensi
Marcelo Crivella (tengah) ditahan selepas dikaitkan dengan rasuah RM41 juta. Foto: Agensi
A
A
A

RIO DE JANEIRO - Pihak berkuasa Brazil menahan Datuk Bandar Rio De Janeiro, Marcelo Crivella pada Selasa selepas dikaitkan dengan kes rasuah bernilai AS$10 juta (RM40.6 juta).

Penahanan Crivella dibuat kira-kira sembilan hari sebelum tempoh perkhidmatannya sebagai penjawat awam berakhir.

Hakim, Rosa Helena Penna Macedo Guita yang mengetuai siasatan kes berkenaan menggelar Crivella sebagai ketua penyamun yang menjadikan pejabatnya sebagai markas untuk menjalankan kegiatan haram.

Selepas pendengaran selama dua jam, Guita mengarahkan supaya Crivella ditahan dan rakaman televisyen oleh stesen penyiaran GloboNews kemudian menunjukkan Crivella ditahan di kediamannya di kawasan kejiranan Barra de Tijuca sekitar jam 6 pagi (waktu tempatan).

Seorang hakim mengarahkan Crivella dikenakan tahanan rumah, bagaimanapun Guita meminta Crivella dipakaikan gelang kaki elektronik selain semua peranti elektroniknya diserahkan kepada pihak berkuasa bagi mengelak komunikasi dengan pihak ketiga.

Mengulas penahanannya, Crivella yang juga sekutu Presiden Jair Bolsonaro mendakwa menjadi mangsa penganiayaan politik.

"Sepanjang dilantik Datuk Bandar, sayalah individu yang paling lantang menentang gejala rasuah," katanya.

Sebelum ini, Gabenor Rio De Janeiro, Wilson Witzel dipecat pada Ogos lalu selepas disyaki menerima rasuah.

Artikel Berkaitan:

Empat lagi Gabenor sebelum Witzel kurang bernasib baik apabila dihumban ke penjara selepas disabit bersalah terbabit rasuah oleh mahkamah. - AFP