X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan kita lupa dendam MH17

A
A

SELEPAS hampir enam tahun, kes tembakan jatuh pesawat MH17 akhirnya dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Daerah The Hague, Kompleks Kehakiman Schiphol, Belanda mulai Mac 2020.

Kita wajib mengingati bagaimana pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 tersebut ditembak jatuh peluru berpandu antipesawat BUK di ruang udara timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan meragut nyawa kesemua 298 penumpang.

Sebuah pasukan penyiasat antarabangsa (JIT) dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine ditubuhkan untuk menyiasat tragedi itu.

Laporan JIT pada Julai 2019 kemudiannya menamakan keempat-empat suspek tersebut: Pulatov, Dubinsky dan Igor Girkin yang merupakan warga Rusia manakala seorang lagi rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko yang juga anggota pemisah dituduh menjadi pelaku utama dalam kejadian tersebut.

Pulatov ialah bekas askar pasukan khas Rusia dan salah seorang timbalan Dubinsky yang didakwa membantu memindahkan sistem peluru berpandu ke Ukraine dari pangkalannya di Rusia.

Kesemua empat suspek akan didakwa di bawah undang-undang Belanda. Kesalahan membunuh atau menembak jatuh pesawat dengan sengaja seperti ditetapkan undang-undang Belanda hanya boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Kemudian secara tiba-tiba pada Julai lalu, Belanda memaklumkan ia akan mengheret Rusia ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) kerana berperanan menembak jatuh pesawat MH17.

Menurut Belanda, ia juga sudah memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB tentang langkah tersebut yang bakal memberi tekanan undang-undang baharu kepada Rusia.

Akibatnya, pada 15 Oktober lalu, Rusia menyatakan ia akan menarik diri daripada perundingan dengan Belanda dan Australia. Tindakan itu dilakukan kerana kedua-dua kuasa berkenaan cuba untuk menyalahkan Moscow.

Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa ‘Tindakan permusuhan yang dilakukan oleh Belanda akan menyebabkan penerusan sebarang rundingan melibatkan tiga buah negara dan penyertaan kami sebagai tidak munasabah. Australia dan Belanda tidak cuba untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku pada musim panas tahun 2014 tetapi hanya mahu mendapatkan pengakuan dari Rusia dan ganti rugi daripada saudara mara mangsa kejadian’.

Peranan

Rusia menegaskan bahawa Belanda sedang mengemukakan kes tersebut bagi menentang negaranya kerana ‘peranannya dalam membawa kemusnahan terhadap penerbangan MH17’ di Mahkamah Eropah Untuk Hak Asasi Manusia (ECHR) selepas hanya tiga kali perbincangan.

Moscow menafikan ia terlibat dalam kejadian tersebut tetapi menyalahkan Ukraine berhubung nahas itu. Rusia menegaskan akan ‘meneruskan kerjasamanya’ dengan Belanda tetapi ‘dalam satu format’ yang berbeza.

Pada November lalu, seorang hakim menolak permintaan suspek, Oleg Pulatov supaya menimbang satu teori alternatif lain berhubung kejadian itu.

Pada Jun lalu, peguam bela Pulatov meminta supaya hakim membenarkan teori lain seperti kehadiran sebuah jet pejuang Ukraine yang sebenarnya mengumpan peluru berpandu pemberontak pro-Rusia hingga menyebabkan pemberontak menembak peluru berpandu yang mengakibatkan tragedi MH17.

Namun, Hakim Hendrik Steenhuis menolak permintaannya dengan menyatakan “Adalah terpulang kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan senario utama (cara MH17 itu terhempas). Jika pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan senario utama, tertuduh akan dibebaskan,” katanya.

Hakim Steenhuis kemudian menangguhkan pendengaran kes itu kepada 1 Februari 2021.

Meskipun terdapat persoalan besar mengapa Belanda dan Australia seolah-olah terlalu cepat menghukum Rusia sebagai pesalah dan mengheret Rusia ke ECHR manakala hakim pula enggan mempertimbangkan kemungkinan kehadiran jet pejuang Ukraine yang mengumpan peluru berpandu pemberontak pro-Rusia, kita doakan semoga perjalanan perbicaraan ini akan terus berlangsung dengan seadilnya.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!