Sentiasa muhasabah diri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALLAH berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang mensucikan diri.”

Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa ALLAH mengasihi hambanya yang apabila dia melakukan dosa, dia memperbanyakkan taubatnya dan juga orang-orang yang mensucikan dirinya baik daripada kekotoran zahir atau batin.

Perkataan al-tawwabun merupakan sighah mubalaghah iaitu suatu yang banyak atau kerap dilakukan. Oleh itu, al-tawwabun bolehlah diterjemahkan sebagai orang-orang yang banyak bertaubat.

Sebagai manusia, memang kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Adalah suatu yang agak mustahil untuk kita mendakwa diri kita bersih dari dosa. Anas ibn Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat (Riwayat Ibn Majah).

Hadis di atas secara jelas menyatakan bahawa setiap anak Adam pasti akan melakukan kesilapan. Inilah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun kerana dalam diri manusia terlalu banyak kekurangan, kelemahan dan ketidaksempurnaan.

Biar sehebat mana sekalipun ilmu seseorang itu, dia juga tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Biar setinggi manapun pangkat seseorang, dia tetap ada kekurangan dalam dirinya yang boleh membawanya kepada melakukan kesilapan.

Pada zaman kini, antara kesilapan yang banyak kita lakukan adalah berkaitan dengan ungkapan yang kita keluarkan baik secara lisan atau tulisan.

Pada pandangan saya, dalam dunia hari ini yang berbentuk tulisan itulah yang paling banyak terdedah kepada dosa dan maksiat.

Artikel Berkaitan:

Kita boleh lihat di media sosial misalnya, komen-komen yang diberi oleh netizen banyak yang menyumbang kepada dosa.

Kemarahan dan kebencian yang memenuhi jiwa raga seseorang akan mendorongnya untuk menulis dengan menggunakan perkataan yang memuaskan hati dan nafsunya. Pada saat itu, dia tidak lagi ingat bahawa apa sahaja perkataan dan perbuatannya walaupun sebesar zarah akan dinilai oleh ALLAH.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.

Orang-orang yang sentiasa waspada dan ingat akan kematian serta hari perhitungan di akhirat kelak akan sentiasa berhati-hati dalam setiap perkataan dan perbuatannya. Dia akan berfikir banyak kali sebelum berkata-kata atau menulis dan sebagainya.

Namun ada saatnya nafsu ammarah menguasai diri sehingga keluar daripada tangan dan mulutnya perkataan yang tidak sepatutnya yang tidak menggambarkan akhlak seorang mukmin. Situasi inilah yang paling membimbangkan kita. Situasi yang membuatkan kita melakukan sesuatu mengikut kehendak hati dan kemarahan kita. Pada saat itu, jika ada yang memberi nasihat sekalipun, pasti akan diherdik kembali.

Bagaimanapun, seseorang yang ada keimanan dalam hatinya pasti akan rasa menyesal atas kesilapan yang dilakukannya. Dengan kata lain, seorang mukmin yang waspada dalam hidupnya pasti akan muhasabah kembali dirinya setiap kali ingin memejamkan mata.

Oleh itu, saya menyeru diri saya terutamanya dan kita semua agar kita memperbanyakkan muhasabah diri. Jangan kita menunggu ketibaan tahun baharu, barulah kita menanam azam baharu misalnya. Perbanyakkan muhasabah diri dan perbanyakkan taubat setiap hari. Moga dengan sikap kita yang suka menilai diri, suka mencari kesalahan diri, suka menyibukkan diri dengan mencari kekurangan dan kelemahan diri akan meraih kasih dan sayang ALLAH kepada kita. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah