RM2.074 bilion hutang kerajaan Pahang langsai

Sesi penyerahan dokumen perjanjian antara dua pihak mewakili kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan
Sesi penyerahan dokumen perjanjian antara dua pihak mewakili kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah RM2.074 bilion hutang kerajaan Pahang terhadap Kerajaan Persekutuan langsai menerusi kaedah hapus kira pinjaman dan novasi pinjaman menerusi Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan termeterainya perjanjian itu kerajaan Persekutuan menghapus kira pinjaman bekalan air luar bandar negeri Pahang berjumlah RM1.001 bilion dan novasi pinjaman kerajaan Pahang kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM1.073 bilion.

"Jadi dengan termeterainya perjanjian ini maka pinjaman bekalan air Kerajaan Pahang akan diambil alih oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAAB) dan pembayarannya disusun semula dalam tempoh 45 tahun.

"Di bawah skim ini PAAB turut membangunkan aset-aset air di Pahang berdasarkan pendekatan bina dan pajak dengan kadar yang kompetitif berbanding pembiayaan komersial," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut, sebanyak tiga perjanjian dimuktamadkan iaitu Perjanjian Utama yang ditandatangani oleh empat pihak iaitu Ketua Setiausaha, KASA,Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP,Saiful Zaini Mohd Bahari manakala, Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan pula ditandatangani Abdul Hadi dan Saiful Zaini.

Sesi menandatangani kesemua perjanjian tersebut disaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Tuan Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah PAAB, Datuk Sri Hasan Arifin.

Sesi menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang dilaksanakan di Kuantan pada Rabu selepas tujuh tahun melalui proses rundingan.
Sesi menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang dilaksanakan di Kuantan pada Rabu selepas tujuh tahun melalui proses rundingan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, menerusi perjanjian ini PAIP akan menambah baik kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatannya selain mencapai pemulihan kos penuh dan berupaya menyediakan jaminan perkhidmatan bekalan air berkualiti kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kerajaan Persekutuan dan Menteri kerana telah berjaya merealisasikan penstrukturan ini. Pahang merupakan negeri ke-lapan laksana perjanjian ini.

"Sukacita disebutkan bahawa, manfaat paling besar yang kerajaan Negeri peroleh daripada Penstrukturan Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang ini ialah terhapus kira hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu juga, aset-aset bekalan air dalam bentuk struktur seperti Loji Rawatan Air (L.R.A) dan tanah yang setara dengan nilai baki hutang sebanyak kira-kira RM 1.073 bilion, telah diberi milik kepada PAAB untuk tempoh selama 45 tahun manakala aset-aset tersebut kemudiannya dipajakkan semula kepada PAIP dengan bayaran sewa pajakan kepada PAAB selama 45 tahun.

PAAB pula dengan itu, akan membayar baki hutang kerajaan negeri sebanyak kira-kira RM 1.073 bilion kepada kerajaan Persekutuan dalam tempoh 25 tahun selain turut bertanggungjawab untuk membiayai perbelanjaan modal bagi projek-projek pembangunan berkaitan aset bekalan air baharu bagi kerajaan negeri.