Orang ramai dinasihatkan tidak ulas isu daging seludup

Antara laporan Sinar Harian berkaitan kartel daging haram.
Antara laporan Sinar Harian berkaitan kartel daging haram.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan orang ramai supaya tidak memberi sebarang ulasan berhubung isu daging seludup kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kredibiliti kes.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz, kes tersebut masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan semua pihak diminta supaya menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Hal ini boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan pengimport serta pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah.

"Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan juga antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, media mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan.

Modus operandi itu antara lain dipercayai tindakan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir ataupun loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim.

Katanya, daging diimport masuk perlu mendapat kelulusan dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

Artikel Berkaitan:

“Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum daging ini dibenarkan masuk ke pasaran negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya,” katanya.