AstraZeneca tidak ambil untung 6.4 juta dos vaksin dijual ke Malaysia

Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19. - Foto AFP
Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19. - Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden AstraZeneca, Dr Sanjeev Panchal memaklumkan bahawa syarikatnya tidak mengambil sebarang keuntungan daripada pembekalan 6.4 juta dos vaksin Covid-19 ke Malaysia pada tahun depan.

Memetik laporan Malaymail, beliau berkata, penghantaran vaksin AZD1222 itu akan dilakukan pada suku pertama 2021.

“AstraZeneca dengan bangga menguatkan komitmen kami kepada Malaysia dan menyokong strategi vaksin Covid-19 kerajaan dengan menyediakan 6.4 juta dos vaksin berpotensi AstraZeneca/University of Oxford, AZD1222, tanpa keuntungan semasa pandemik.

"Saya bersyukur atas bimbingan kerajaan dan berharap dapat memperluas kerjasama kami untuk memerangi Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Dr Sanjeev juga mengesahkan perjanjian pembekalan untuk vaksin yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Beliau berkata, perjanjian tersebut akan memberikan akses vaksin yang mencukupi buat rakyat Malaysia.

Menurutnya, melalui perjanjian itu, AstraZeneca akan mengembangkan kapasiti pembuatan globalnya untuk memastikan bekalan khas AZD1222 untuk Malaysia selari dengan ujian klinikal yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Inggeris, Brazil, Afrika Selatan, Jepun dan Rusia.

Katanya, analisis sementara program fasa tiga yang dijalankan oleh Universiti Oxford kepada AZD1222, dengan tinjauan pakar dan turut diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada 8 Disember menunjukkan bahawa vaksin itu selamat dan berkesan untuk mencegah simptomatik Covid-19 serta melindungi dari penyakit yang teruk dan kemasukan ke hospital.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Panchal berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai persiapan untuk mempercepatkan kelulusan vaksin tersebut berasaskan peraturan dan kaedah saintifik.

Vaksin AZD1222 menggunakan vektor virus pereplikaan-kekurangan cimpanzi berdasarkan virus lemah daripada selesema biasa (adenovirus) yang menyebabkan jangkitan pada haiwan tersebut dan mengandungi bahan genetik lonjakan protein virus SARS-CoV-2.

Setelah proses pemvaksinan, protein lonjakan permukaan yang dihasilkan akan menjadikan sistem imun tubuh menyerang virus SARS-CoV-2 sekiranya ia kembali menjangkiti tubuh seseorang individu

Pada Isnin, Muhyiddin turut dilaporkan berkata, kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara ini.

Menurutnya, kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Katanya, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.