Rezeki ikan talang lumayan

Wan Sapiah menunjukkan ikan talang masin yang beratnya hampir empat kilogram.
Wan Sapiah menunjukkan ikan talang masin yang beratnya hampir empat kilogram.
A
A
A

TUMPAT - Musim kenduri kahwin tidak lengkap rasanya jika tidak dihidangkan lauk ikan masin oleh keluarga pengantin kepada tetamu.

Ini antara faktor ikan talang masin yang bersaiz 'gergasi' ini menjadi rebutan.

Meskipun harganya mencecah RM25 sekilogram, ia bukan halangan malahan tetap menjadi pilihan untuk dijadikan lauk kenduri.

Biasanya enak dimasak gulai kuning dicampur nanas atau masak lemak cili api menjadikan ia menu istimewa.

Pengusaha ikan kering, Wan Sapiah Wan Yusof, 41, berkata, tibanya musim cuti sekolah, ikan talang akan dicari pelanggannya.

"Ikan talang ini hanya laku di musim cuti sekolah saja sebabnya ramai yang mengadakan majlis perkahwinan.

"Ia antara lauk yang dihidangkan di musim kenduri kahwin," katanya ditemui di gerai ikan keringnya di Pantai Geting.

Menurutnya, bekalan ikan talang sukar diperoleh menyebabkan dia membuat persiapan awal.

Artikel Berkaitan:

Antaranya Wan Sapiah berkata, ikan talang tersebut akan dijemur kering dan disimpan untuk stok jualan di musim cuti sekolah.

"Seekor ikan talang dijual sekitar RM50 ke atas.

"Sekilogram dijual sekitar RM25 ke atas, biasanya seekor ikan talang ini beratnya lebih dua kilogram," katanya.

Menurutnya, lazimnya pelanggan akan membeli dalam kuantiti banyak untuk dijadikan lauk tambahan.

"Disebabkan ikan talang mahal, ia antara hidangan mewah.

"Tetapi bagi yang tidak menyediakan ikan talang, ikan masin lain seperti ikan gelama dan cencaru masin turut menjadi pilihan bagi membangkitkan selera di tempat kenduri," katanya.

Menurutnya, musim cuti sekolah, jualan ikan masinnya laris kerana ia turut menjadi pilihan perantau untuk dibawa pulang ke bandar.