Tangan pekerja selia selenggara terpaksa dipotong

Pihak polis membersihkan kawasan kemalangan selepas seorang pekerja selia selenggara parah dilanggar lori di Kilometer 28, Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru pada Selasa.
Pihak polis membersihkan kawasan kemalangan selepas seorang pekerja selia selenggara parah dilanggar lori di Kilometer 28, Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja selia selenggara parah selepas dilanggar lari sebuah lori di Kilometer 28, Lebuhraya Pasir Gudang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 11.50 pagi, mangsa yang berusia 55 tahun sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi pekerja sedang berdiri atas platform hidrolik di bahagian belakang lori untuk mengesan jalan yang berlubang sebelum dibaik pulih.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian mereka dilanggar oleh sebuah lori lain.

"Akibat rempuhan itu, mangsa parah di bahagian tangan kanan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

"Tangan mangsa terpaksa dipotong di bahagian bawah siku," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, lori yang melanggar mangsa tidak berhenti di tempat kejadian dan terus melarikan diri.

Katanya, polis sedang mengenal pasti lori terbabit dan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana–mana balai polis berhampiran.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau hotline polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerusi 07–3864222.