KKM pantau impak mutasi Covid-19 di Sabah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau mutasi baharu Covid-19 yang dikesan di Sabah daripada pelbagai sudut merangkumi kadar kebolehjangkitan serta impaknya terhadap masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mutasi baharu A701B itu dikesan selepas pihaknya melaksanakan ujian terhadap 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah.

“Kita kenal pasti mutasi A701B tetapi tidak pasti apa impak klinikal seperti berapa kadar kebolehjangkitan mutasi itu serta (bagaimana) keganasan virus (dalam mutasi itu).

"Virus Covi-19 ini sentiasa bermutasi cuma kita perlu tahu apa impak kesihatan daripada mutasi itu,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di sini pada Rabu.

Menurut beliau, mutasi baharu juga telah dikesan di beberapa negara antaranya Afrika Selatan, Australia, Belanda dan Singapura.

Pada Isnin, Dr Noor Hisham berkata, varian baharu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 yang merebak dengan cepat dan meluas di UK didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebelum ini, pihaknya mengenal pasti kewujudan mutasi D614G di Kedah melibatkan Kluster Sivagangga serta di negeri Johor dan Sabah.

“Mutasi D614G ini didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain,” katanya menambah KKM akan memantau mutasi yang ada bagi mengesan apa kesannya terhadap keberkesanan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Mengenai soalan adakah KKM akan menaikkan semula tempoh kuarantin bagi pelawat asing dari 10 hari ke 14 hari sebagaimana sebelum ini susulan penemuan variasi Covid-19 baharu dari United Kingdom (UK), Dr Noor Hisham berkata data yang mereka perolehi menunjukkan tidak banyak perbezaan di antara dua tempoh itu.

"Kita dapati tidak banyak beza daripada segi kuarantin 10 hari dengan 14 hari dan yang pasti kita kena kuarantin sekurang-kurangnya 10 hari kerana kebanyakan mereka dijangkiti virus akan ada gejala dan boleh dikesan pada minggu yang pertama.

"Tetapi kalau kita guna kaedah atau melihat pada tempoh tujuh hari kuarantin, risikonya lebih tinggi jadi kita mengambil tempoh kuarantin 10 hari dan kita lihat hasil kajian untuk kuarantin bagi 10 dan 14 hari adalah lebih kurang sama," katanya.

Beliau juga memaklumkan sekatan masih dikenakan ke atas kemasukan pelawat asing dari 23 negara termasuk UK manakala rakyat Malaysia yang pulang dari UK, ujian saringan pemantauan dan kuarantin untuk tempoh 10 hari tetap dilaksanakan ke atas mereka. - Bernama