Dua wartawan Afghanistan ditembak mati

Shafiq (kiri) dan Rahimullah maut akibat ditembak lelaki bersenjata.
Shafiq (kiri) dan Rahimullah maut akibat ditembak lelaki bersenjata.
A
A
A

KABUL – AFGHANISTAN. Dua wartawan ditembak mati selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk stesen radio di timur laut Afghanistan dalam serangan kedua di negara itu yang menyasarkan petugas media.

Shafiq Aria dan Rahimullah Rahmani, masing-masing berusia 20-an maut ditembak di dalam studio Radio Hamsada, sebuah stesen penyiar swasta berpusat di Taloqan, wilayah Takhar pada Selasa lalu.

Jurucakap wilayah, Jawad Hejri memaklumkan tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan itu dan siasatan masih dijalankan.

“Dua lelaki bersenjata merempuh masuk ke studio terbabit ketika mereka sedang mengendalikan program siaran langsung. Kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.

Menurut Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), sekurang-kurangnya 18 wartawan terbunuh di Kabul pada 2018.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Afghanistan, John Bass berkata, beliau sedih dengan insiden pembunuhan itu.

“Sudah tiba masanya #EndImpunity terhadap jenayah ke atas wartawan. #PressFreedom,” menurutnya menerusi Twitter. - Agensi

Artikel Berkaitan: