Kemelut politik perlu ditangani secara saksama dan berintergriti

Tanpa kedudukan dominan 2/3 di Parlimen, maka lahirlah pelbagai percaturan politik yang akhirnya hanya merugikan rakyat
Tanpa kedudukan dominan 2/3 di Parlimen, maka lahirlah pelbagai percaturan politik yang akhirnya hanya merugikan rakyat
A
A
A

SAYA terpanggil untuk menulis surat terbuka ini kerana terkejut dan tergamam dengan kemelut politik di negara kita yang semakin menjadi-jadi.

Kenyataan, sikap serta kelakuan sesetengah pemimpin utama parti, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang sama sekali tidak mencerminkan kepimpinan yang wajar, saksama dan berintegriti.

Semasa rakyat bertungkus-lumus memerangi krisis kesihatan dan mata pencarian semakin terjejas akibat pandemik Covid-19, amat mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin kita sibuk bertelagah sesama sendiri dan langsung tidak mempamerkan sikap kerjasama, toleransi dan saksama.

Apakah ungkapan 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' yang tersemai dijiwa sanubari kita sejak zaman persekolahan begitu mudah dilupakan demi mencapai matlamat dan cita-cita politik individu sehinggakan mereka alpa dengan kesusahan yang dialami rakyat?

Negara-negara jiran seperti Vietnam, Thailand, Indonesia yang sebelum ini di belakang negara kita, kini semakin maju ke hadapan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, KDNK Malaysia menyusut sebanyak 17.1 peratus daripada pertumbuhan marginal 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

Prestasi suku tahunan ini merupakan pertumbuhan KDNK terendah yang direkodkan sejak suku keempat 1998 (-11.2 peratus).

Laporan dari Pusat Penyelidikan Ekonomi Jepun (JCER - Japan Center for Economic Research) yang diterbitkan baru-baru ini menekankan bahawa keluaran dalam kasar negara (KDNK) negara jiran Vietnam melonjak 122 kali ganda sejak tahun 1970-an berbanding Malaysia yang meningkat 90 kali ganda sahaja dalam jangka masa yang sama.

Malaysia juga terkebelakang berbanding Singapura yang menyaksikan pertumbuhan KDNK sebanyak 176 kali ganda manakala KDNK Indonesia pula mengalami pertumbuhan 111 kali ganda. Vietnam juga dilihat sebagai negara yang berada di landasan betul untuk menjadi ekonomi kedua terbesar di ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Kemanakah perginya taring harimau yang disegani pada tahun 1980-an dan 1990-an? Di manakah silapnya? Dalam masa sembilan hari lagi, seluruh dunia akan menyambut kedatangan dekad baru. Era transformasi digital, era kecerdasan buatan (AI), era e-dagang.

Namun, rakyat tidak nampak seurat pun pelan komprehensif yang akan meneraju rakyat dalam mengikuti peredaran tren semasa. Apakah kita hanya mampu melihat negara tercinta kita terus terkebelakang?

Peranan para pemimpin negara adalah membantu dan memudahkan kelangsungan hidup rakyat. Namun, saban hari kita disogok dengan isu-isu, sahutan dan panggilan yang terus memisahkan kita baik dari aspek sosial, ekonomi mahupun politik.

Isu-isu perkauman, agama dan kebencian terus diperbesarkan dan digunakan sebagai umpan politik untuk mewujudkan pertelingkahan dan kekalutan. Keadaan ini sangat memalukan Malaysia di mata dunia sehinggakan pelaburan asing yang amat penting untuk membantu pembangunan negara tidak kunjung tiba.

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dikenali sebagai seorang pemimpin Islam yang bersifat sederhana dan bertoleransi tinggi. Sifat kepimpinan beliau ini amat disegani sehingga parti pimpinan beliau berjaya mendapat kedudukan kukuh di negeri Selangor yang terdiri dari pelbagai kaum.

Allahyarham juga memberikan kelulusan bagi pembinaan salah satu kuil Buddha terbesar di Asia Tenggara di Kelantan.

Malangnya pada hari ini, ada jurang sentimen di kalangan pemimpin parti politik yang masih meniupkan kata-kata sensitif yang mengundang kebencian. Tak lama dahulu, seorang pemimpin parti berasaskan agama pernah menyuarakan pendapat bahawa tiada tempat untuk pemimpin yang tidak sehaluan dengan pegangan partinya.

Pendapat sebegini tidak lagi relevan dalam masyarakat sekarang yang mendambakan kepimpinan adil, saksama, berintegriti dan melangkaui sempadan bangsa serta agama. Inilah asas kepimpinan yang dipercayai oleh rakyat suatu masa dulu dan malangnya, telah lenyap pada hari ini.

Saya yakin bahawa majoriti rakyat tidak berniat untuk bermusuhan (hostile) sesama sendiri mahupun mengusir mana-mana golongan rakyat Malaysia keluar dari negara. Seperti kata pepatah ‘mata pena lebih tajam dari mata pedang’, maka, janganlah kita beria-ia mengungkapkan kata-kata kasar yang menyakiti hati segelintir rakyat.

“Freedom of speech, is not freedom to act”. Kebebasan bersuara bukanlah kebebasan untuk bertindak. Janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan kata-kata kasar ketika seluruh rakyat sedang memerangi wabak penyakit dan ekonomi yang teruk.

Tanpa kedudukan dominan 2/3 di Parlimen (155/222 kerusi), maka lahirlah pelbagai percaturan politik yang akhirnya hanya merugikan rakyat. Dalam usaha untuk kekal di tampuk kuasa yang ibarat telur di hujung tanduk, segala janji dan rancangan semasa pilihan raya kini “dibakul-sampahkan”.

Banyak keputusan dan polisi yang dirangka hanyalah demi kelangsungan politik parti tanpa mengambil kira kepentingan rakyat, baik di peringkat negeri mahupun pusat.

Tiada lagi istilah kesetiaan dan ideologi membina melainkan hanyalah kegilaan mencari kuasa. Kawan dan lawan kini bercampur-baur, asalkan matlamat politik tercapai. Fenomena 'katak politik' semakin berleluasa.

Dalam menghadapi sebarang krisis, kita seharusnya menumpukan kepada penyelesaian. Bagi menangani kemelut politik negara dan mengembalikan kestabilan ekonomi, sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia bersama-sama menyeru pemimpin-pemimpin kita untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti dalam memelihara integriti sistem pentadbiran negara kita.

Negara dan rakyat akan terus menanggung kerugian jika kemelut politik berterusan dan dibiarkan tanpa penyelesaian yang saksama dan berintegriti. Akan bertambahlah bilangan katak-katak di kalangan ahli-ahli politik. Sudah-sudahlah dengan tohmahan dan putar belit yang jauh menyimpang dari fakta.

Hentikanlah fitnah dan sangka buruk, baik dari ahli politik mahupun laskar siber upahan parti-parti politik. Jangan pentingkan diri, tindakan ini hanya akan menjejaskan rakyat dan ekonomi akhirnya, dan secara tak langsung mencalarkan imej negara Malaysia yang kita sayangi.



*Ivlynn Yap merupakan Penaung dan Penasihat Utama Krisis Komunikasi, Citrine One, sebuah syarikat penasihat komunikasi tempatan yang mempunyai rakan syarikat di lapan buah negara di Asia Pasifik.