Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat lima kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Sabah, Kedah dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan Kluster Tapak Bina Jalan Panah di Daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kes indeks bagi kluster berkenaan dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Disember melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sehingga 23 Disember 2020, sejumlah 1,000 individu telah disaring, 21 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19.

Selain itu, Kluster Menara Wang yang turut melibatkan tempat kerja dikesan di Lembah Pantai, Cheras, Titiwangsa, serta di Daerah Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor dan di Maran serta Kuantan, Pahang.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster itu telah dilaporkan positif Covid-19 pada 17 Disember lepas melalui saringan individu bergejala dan sejumlah 293 individu telah disaring dengan 23 kes dikesan positif sehingga Rabu.

Bagi Kluster Saga Tengah melibatkan Daerah Tenom dan Keningau di Sabah, beliau berkata, kes indeks dilaporkan positif pada 18 Disember melalui saringan individu bergejala dan sehingga Rabu, seramai 298 individu telah disaring dengan 16 kes dikesan positif.

Sementara itu, Kluster Kolam Air di Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah dikesan apabila kes indeks kluster itu dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Disember melalui saringan Orang Kena Tahan (OKT) dan sehingga kini, seramai 84 individu disaring dengan 14 kes adalah positif.

Kluster Hala Mutiara di Kinta, Perak pula melibatkan kes indeks yang positif menerusi saringan OKT pada 12 Disember dan seramai 51 individu telah disaring dengan tujuh daripadanya dikesan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sejumlah 256 kluster telah tamat termasuk tiga kluster yang berakhir Rabu iaitu Kluster Kiambang, Kluster Padang, dan Kluster Liawan, dan ia menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 208 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 kluster melaporkan pertambahan kes pada Rabu dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (162 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (123 kes), dan Kluster Teratai (79 kes),” katanya. - Bernama