PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak Muar mulai esok: Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar bermula hari ini sehingga 6 Januari tahun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di PPA Muar yang kini dijadikan sebagai Pusat Transit Penerimaan Banduan sejak bulan lepas bertujuan memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif yang melibatkan 773 tahanan dan 127 kakitangan.

"SOP (prosedur operasi standard) PKPD di pusat tahanan ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kalangan tahanan.

Katanya, berdasarkan penilaian risiko, KKM mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan Orang Kena Tahan adalah tinggi.

Ismail Sabri juga berkata, pelaksanaan PKPD di Kondominium Sierra East yang terletak berdekatan Flat Persiaran Paya Terubong, Relau di Pulau Pinang ditamatkan pada Rabu.

Menurutnya, keputusan penamatan PKPD dilaksanakan lebih awal bagi kondominium itu berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh KKM susulan tiada kes positif Covid-19 direkodkan selepas keseluruhan penghuni disaring.

"KKM juga mendapati majoriti penduduk kondominium ini tidak ada kaitan dengan kluster dilaporkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Ismail Sabri berkata, sejumlah 230 individu ditahan pada Selasa atas kesalahan ingkar arahan SOP dan mereka telah dikompaun.

Bagi kuarantin wajib pula, sejak 24 Julai sehingga Selasa, seramai 90,536 i individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 77 hotel serta 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,574 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 535 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 82,427 individu telah dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama