Polis batal panggil Guan Eng hari ini

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Polis membatalkan sesi merakam keterangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dijadualkan pada Khamis jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dalam kenyataannya berkata, beliau dimaklumkan peguamnya, Gobind Singh Deo bahawa polis akan menetapkan tarikh baharu untuk tujuan itu pada tahun depan.

"Saya telah dimaklumkan oleh peguam saya dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bahawa pihak polis telah membatalkan sesi merakam kenyataan polis saya esok (pada Khamis) dan akan menetapkan satu tarikh baru pada tahun depan.

"Sebelum ini, polis telah menetapkan 24 Disember jam 10 pagi di IPDTL untuk sesi merakam kenyataan saya berkaitan dua kenyataan media yang dibuat oleh saya pada 2019," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memohon maaf kepadanya terhadap kekhilafan yang dilakukan pegawai polis berkenaan.

"Beliau (Abdul Hamid) dengan rendah diri memohon maaf melalui satu pesanan teks kepada saya atas kekhilafan pegawai beliau yang menetapkan sesi merakam kenyataan itu sehari sebelum perayaan Krismas.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas ucapan Krismas beliau kepada saya dan keluarga," katanya.

Terdahulu, Guan Eng berkata, polis akan menjalankan satu lagi siasatan terhadapnya berhubung dua kenyataan yang dibuat pada 2019.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis memaklumkan Gobind mengenai perkara itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kenyataan yang akan disiasat oleh polis itu.