X

Kindly register in order to view this article
!

McDonald’s Malaysia bayar zakat RM1 juta

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri(tengah) menerima zakat perniagaan berjumlah RM150,000 daripada McDonald’s Malaysia kepada PPZ-MAIWP.
A
A

McDonald’s Malaysia menunaikan tanggungjawabnya membayar zakat perniagaan berjumlah RM1 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia.

Pembayaran yang dicatatkan untuk tahun 2020 itu menandakan tahun keempat McDonald’s Malaysia membayar zakat, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, McDonald’s Malaysia telah menyampaikan zakat kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di dua majlis berasingan minggu lalu.

“Sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ia adalah tuntutan agama bagi kami membayar zakat untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

“Kami mula membayar zakat sejak 2017 setelah diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi lebih daripada 300 restoran di seluruh Malaysia, tanggungjawab menunaikan Rukun Islam kelima itu sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA McDonald’s Malaysia.

“Tanggungjawab ini menjangkau keperluan komuniti di tempat kami beroperasi. Kami berharap sumbangan kepada semua 14 negeri ini akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam suasana kehidupan semasa yang penuh dugaan ini,” tambah Azmir.

Penyerahan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia kepada Lembaga Zakat Selangorberjumlah RM175,000.
Penyerahan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia kepada Lembaga Zakat Selangorberjumlah RM175,000.

Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.

Sijil berkenaan mengiktiraf perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di Wilayah Persekutuan.

Sijil-sijil ini sedia terpamer di 40 restoran-restoran McDonald’s Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selain itu, McDonald’s Malaysia juga menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor pada Oktober tahun ini dan dipamerkan di 95 restoran McDonald’s di Selangor.

Sijil-sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat melengkapi Pensijilan Halal yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.

McDonald’s Malaysia juga bekerja rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus menegakkan komitmen Halal kepada para pelanggannya dalam semua aspek perniagaan.

Penglibatan aktif syarikat ini dalam pelbagai program Halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.

“Sebagai salah satu restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan halal daripada JAKIM, Halal di McDonald’s Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal, hinggalah kebersihan restoran dan program komuniti yang syarikat turut serta,” jelas Azmir.

Katanya, untuk memastikan standard halal yang ketat sentiasa dipatuhi di McDonald’s Malaysia, syarikat ini telah membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013.

Jawatankuasa ini ditugaskan untuk memantau pematuhan sepenuh secara menyeluruh melalui audit dan pemeriksaan mengikut tatatertib Halal yang digariskan JAKIM.

Ia terdiri daripada anggota-anggota yang mewakili lembaga pengarah, rantaian bekalan, jaminan kualiti, operasi, sumber manusia dan pemasaran. Dua pakar luar juga terlibat sebagai penasihat syariah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcdonalds.com.my.

LATAR BELAKANG McDONALD’S:

- Rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara.

- Sepanjang 38 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di 300 restoran di seluruh negara.

- McDonald’s Malaysia mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya di seluruh negara dengan mewujudkan pelbagai peluang perkembangan karier, latihan dan pembangunan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!