Tekong bot nelayan Vietnam didakwa atas tuduhan rasuah

Tertuduh dibawa ke mahkamah untuk sebutan kesnya atas tuduhan rasuah pada Rabu.
Tertuduh dibawa ke mahkamah untuk sebutan kesnya atas tuduhan rasuah pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang tekong bot nelayan Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuantan di sini pada Rabu atas tuduhan rasuah.

Tertuduh,Tran Van Minh, 42 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Vietnam, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM2,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan ke atas diri dan 20 awak-awaknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di lokasi 83 batu nautika tenggara Kuala Kuantan kira-kira jam 8.39 pagi pada 12 Disember lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh perairan negara.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Suhaimi Ismail didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah yang paling tinggi.

Tertuduh tidak ditawarkan sebarang ikat jamin sebelum mahkamah menetapkan 14 Januari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Artikel Berkaitan: