Menteri Besar Perak umum portfolio Exco

Saarani (tengah) bersama Exco kerajaan Perak bergambar selepas mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Saarani (tengah) bersama Exco kerajaan Perak bergambar selepas mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini mengumumkan kesemua portfolio Exco di bawah pentadbirannya.

Barisan exco kali ini memperlihatkan beberapa perubahan khususnya melibatkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing dua dari Pas, satu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan satu dari Barisan Nasional (BN).

Bagi portfolio Menteri Besar Perak, Saarani mempengerusikan Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang baharu dilantik sebagai Exco diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bagi Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pula diberikan tanggungjawab baharu sebagai Exco Perladangan, Pertanian dan Sekuriti Makanan yang sebelum ini dipegang ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Abdul Yunus pula kini sebagai Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14

Lima lagi ADUN angkat sumpah Exco Perak hari ini

Dua ADUN Pas kembali dilantik sebagai Exco Perak

Seorang lagi ADUN Pas, Mohd Akmal Kamarudin pula kini memegang portfolio Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau yang sebelum ini dipegang ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Sementara itu, Ahmad Saidi kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia.

Artikel Berkaitan:

Baki lima lagi exco mengekalkan portfolio masing-masing termasuk ADUN Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin yang memegang portfolio tambahan iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ditanya mengenai perubahan ketara portfolio bagi ADUN Pas, Saarani berkata, pertukaran portfolio itu bukanlah rombakan exco sebaliknya merupakan sebuah Kabinet kerajaan baharu.

Katanya, tidak timbul soal portfolio berubah kerana kerajaan yang dibentuk merupakan pasukan baharu.

"Dengan kebolehan yang ada saya yakin semua exco akan dapat memberikan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan harapan rakyat supaya kerajaan ini dapat memberi tumpuan kepada membela nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Pengupayaan, Pemerkasaan Persatuan Belia dan Persediaan Kontinjen Para SUKMA Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saarani turut mengumumkan dua lantikan baharu iaitu ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak manakala ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abd Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar Perak Bertaraf Exco.

Tamat

INFO EXCO KERAJAAN PERAK

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber

Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Zainol Fadzi Paharudin

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Sekuriti Makanan, Razman Zakaria

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Shahrul Zaman Yahya

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Datuk Abdul Yunus Jamahri

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud