X

Kindly register in order to view this article
!

UTM-Universitas Indonesia tingkat kerjasama R&D

Ahmad Fauzi (tengah) menunjukkan dokumen memperbaharui MoU dengan Universitas Indonesia bagi meningkatkan kerjasama di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM, Johor Bahru pada Rabu.
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas Indonesia bagi meningkatkan kerjasama setelah terjalinnya hubungan dan kerjasama yang baik sejak 2014.

Majlis berkenaan diadakan secara dalam talian di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM di sini pada Rabu.

MoU yang diperbaharui itu antara lain bertujuan mengembangkan kurikulum dan pertukaran penerbitan ilmiah di samping penyelidikan serta pembangunan bersama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Mewakili pihak UTM, majlis itu dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail; Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Profesor Madya Dr Mohd Ismid Md Said; Pengerusi Resource Sustainability Research Alliance, Profesor Ir Dr Haslenda Hashim dan Pengarah Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research, Profesor Dr Hadi Nur.

Universitas Indonesia pula diwakili Timbalan Rektor (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Abdul Haris: Setiausaha Universitas Indonesia, Dr Agustin Kusumayati dan pegawai–pegawai kanan Universitas Indonesia.

Ahmad Fauzi berkata, secara dasarnya kedua-dua pihak menyedari bahawa kerjasama tersebut perlu dilanjutkan bagi mengeratkan kerjasama penyelidikan serta pembelajaran dalam bidang sains dan kejuruteraan.

"Kerjasama UTM dengan Indonesia telah dimulai ketika UTM masih bernama Institut Teknologi Kebangsaan pada awal tahun 1970-an, di mana UTM dibantu oleh pensyarah pensyarah yang didatangkan dari Indonesia.

"Pada saat ini, UTM memiliki lebih dari 600 mahasiswa dari Indonesia yang melanjutkan pengajian mereka di peringkat siswazah dan pasca siswazah," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Beliau berkata, setelah MoU ditandatangani pada 2014, kedua-dua universiti bersetuju bekerjasama lebih erat dalam penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan program pertukaran staf dan pelajar merangkumi lawatan sambil belajar.

Katanya, ini termasuk menjalankan penyelidikan dan menyelia projek pelajar, program kerjasama seminar, kolokium dan perbincangan akademik.

Menurutnya, hubungan dalam bidang pendidikan antara Indonesia dan Malaysia berlangsung ketika pemerintah Republik Indonesia menghantar guru-guru Indonesia ke Malaysia dalam 'Project Malay Culture' semasa zaman pemerintahan Presiden Indonesia, Soeharto pada era 1970-an.

"Projek ini sangat berkesan memperbaiki hubungan diplomatik Indonesia Malaysia yang tidak begitu baik selama masa konfrontasi pada tahun 1963 hingga 1968.

"Sejarah penghantaran guru-guru Indonesia ke Malaysia dilaksanakan sejak tahun 1969 hingga akhir 1990-an. Kerjasama ini bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah malahan juga hingga ke peringkat pengajian tinggi," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!