Tiada jaminan kenaikan harga barang semasa Krismas

Chong Fat Full
Chong Fat Full
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak memberi jaminan kenaikan harga barang tidak akan berlaku di negeri ini walaupun bekalan mencukupi sepanjang perayaan Krismas.

Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full berkata, Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan.

Menurutnya, mereka akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya.

"Ini bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan harga di pasaran berpatutan. Langkah ini mencerminkan usaha berterusan KPDNHEP bagi melindungi pengguna daripada kegiatan mengambil keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika ketika musim perayaan.

"Selain itu, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Perayaan Krismas 2020 dilaksanakan dari 22 Disember 2020 hingga 31 Disember iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Fat Full berkata, perlaksanaan skim itu bertujuan memastikan harga barangan terpilih adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

Beliau berkata, 14 jenis barangan ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2020 antaranya ayam, ayam belanda, telur ayam, daging kambing, lada benggala hijau dan tomato.

"Dua barangan baharu turut dimasukkan iaitu lobak merah dan ubi kentang import kerana mendapat permintaan tinggi masyarakat yang menyambut perayaan Krismas.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran," katanya.

Menurutnya, penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dibuat mengikut kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan dalam memastikan harga berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Katanya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah, notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) akan dikeluarkan ke atas mana–mana pihak yang didapati menaikkan harga barangan secara mendadak dan ketara.

"Peniaga yang gagal mematuhi arahan akan dikenakan penalti mengikut kesalahan seperti tidak mempamer tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum," katanya.

Pengguna di Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh SHMMP Krismas 2020 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada pihak kementerian melalui talian 03–8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); Call centre 1800 886 800 dan Enforcement Command Centre (ECC) 03–8882 6245/6088.

Selain itu, boleh dibuat melalui nombor aduan WhatsApp KPDNHEP iaitu 019–279 4317; E-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana–mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP seluruh negeri.