Pengarah urusan didakwa palsukan penyata bank

Tertuduh (dua dari kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Tertuduh (dua dari kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
A
A
A
ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana memalsukan penyata sebuah bank bagi tempoh tiga bulan bermula Mac hingga Mei 2018.

Tertuduh, Naim Arshad, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan penyata bank CIMB palsu, milik syarikat Paradigm Energy Sdn Bhd bagi Mac hingga Mei 2018 dalam permohonan tender Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) Kementerian Kesihatan Malaysia di negeri itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah di sini pada 23 Julai 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Artikel Berkaitan:


Hakim Murtazadi Amran membenarkan Naim diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai, selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yunos Syariff.

Mahkamah menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes.