[DIKEMASKINI] Lelaki tular di media sosial tak mengaku rompak RM15,000

Video seorang lelaki dikatakan merompak menggunakan parang tular di laman sosial apabila dia ditahan seorang pengawal peribadi di Jalan Metro Perdana Barat 2 di sini pada 15 Disember lalu.
Video seorang lelaki dikatakan merompak menggunakan parang tular di laman sosial apabila dia ditahan seorang pengawal peribadi di Jalan Metro Perdana Barat 2 di sini pada 15 Disember lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki yang tular di media sosial berhubung kes rompakan RM15,000 sebelum ditangkap pengawal peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

S Suresh Rao, 34, yang bekerja di kedai besi buruk membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang ke atas Mohamed Ali Meeran Mydin dengan mengambil wang syarikat mangsa sebanyak RM15,000.

Kejadian didakwa dilakukan di Jalan Metro Perdana Barat 2, Sentul pada jam 11.15 pagi, 15 Disember lalu.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh kerana kesalahan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Namun, jika mahkamah membenarkan tertuduh dijamin, pihak kami mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM20,000 dan tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, M Madhavan merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan dia perlu menanggung ibu bapa, isteri dan tiga anak yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mahyon membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 Januari 2021 sebagai sebutan semula kes.

Pada 21 Disember lalu, video seorang lelaki dikatakan merompak menggunakan parang tular di laman sosial apabila dia ditahan seorang pengawal peribadi di Jalan Metro Perdana Barat 2 di sini pada 15 Disember lalu.