19 pasukan nyata hasrat sertai Liga M3 2021

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEBANYAK 19 pasukan yang bertanding dalam Liga M3 pada musim ini telah menyatakan hasrat untuk kekal bertanding pada musim 2021 yang dijadualkan bermula Mac tahun hadapan.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Liga M3 dan Liga M4 akan distruktur semula melibatkan pindaan format dan sistem pertandingan secara menyeluruh di semua peringkat.

Berikutan itu, format terbaharu divisyen ketiga itu akan membenarkan sebanyak 24 pasukan bertanding pada musim 2021 berbanding 20 pasukan bagi musim 2020 yang dibatalkan selepas dua pusingan susulan pandemik Covid-19.

“Untuk itu, slot tambahan juga akan dibuka kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN). Pengesahan pasukan yang akan bertanding dalam Liga M3 2021 hanya akan dibuat setelah kesemua dokumentasi disaring sepenuhnya.

“Proses saringan ini perlu bagi mengenal pasti pasukan-pasukan terbaik dan kompetitif sekali gus menjadi langkah persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) ke arah semipro,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, antara kriteria dalam Garis Panduan Kelayakan Pasukan Liga yang perlu dipenuhi oleh pasukan baharu ialah pemilikan pasukan, butiran lengkap kewangan pasukan dan lain-lain.

Antara pasukan musim ini yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Langkawi City FC dan NLFC-Mahsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: